Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Justo dakwa 2 bekas pengarah Petrosaudi berada di Eropah
Diterbitkan:  Feb 15, 2020 1:12 PM
Dikemaskini: 5:17 AM

Warganegara Switzerland, Xavier Andre Justo mendakwa bekas pengarah Petrosaudi International yang dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes 1MDB kini berada di Eropah.

Justo - bekas pegawai eksekutif Petrosaudi International yang pernah mendedahkan skandal 1MDB di peringkat global - mendakwa tahu di mana Tarek Obaid dan Patrick Mahony.

Bercakap kepada Free Malaysia Today, Justo mendakwa Tarek berada di Switzerland manakala Mahony menetap di Switzerland dan United Kingdom.

"Saya ada kawan-kawan di Geneva yang tahu (mana mereka)," katanya kepada portal berkenaan.

Pada 10 Februari lalu, SPRM memfailkan pendakwaan terhadap Tarek, Mahoney dan ahli perniagaan yang dikehendaki, Jho Low tanpa kehadiran tertuduh berhubung kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

Ini menyebabkan waran tangkap dikeluarkan kepada kedua-dua bekas pengarah Petrosaudi International Limited (PSI) berkenaan, yang menjadi individu utama dalam pemeteraian usaha sama syarikat itu dengan 1MDB.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan komplot jenayah untuk membolehkan bekas Perdana Menteri Najib Razak menggunakan kedudukannya untuk menerima rasuah lebih RM60 Juta.

Najib kini menghadapi tuduhan rasuah berhubung 1MDB dan SRC International.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, langkah itu diambil sebagai sebahagian daripada siasatan dan usaha mendapatkan semula dana 1MDB dan SRC International.

SPRM telah memaklumkan perkara itu kepada Interpol.

Bagaimanapun, sehingga berita ini ditulis, Low, Obaid, dan Mahony masih tiada dalam senarai merah Interpol.

Sementara itu, Justo dipetik berkata beliau "gembira" waran tangkap dikeluarkan terhadap Tarek dan Mahoney dan berkata, pihak berkuasa mempunyai "tanggungjawab moral" untuk menangkap mereka.

Justo dipenjarakan di Thailand pada 2015 kerana didakwa memeras ugut bekas majikannya sebagai balasan untuk tidak mendedahkan maklumat sulit berkaitan 1MDB.

Beliau kemudian membocorkannya kepada Sarawak Report dan The Edge Media Group, mendorong siasatan terhadap 1MDB di beberapa negara. 

Lihat Komen
ADS