Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LTTE: Mahkamah lepas, bebas Adun P Gunasekaren
Diterbitkan:  Feb 24, 2020 12:32 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Selepas lebih empat bulan ditahan di Penjara Sungai Buloh berhubung pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P Gunasekaren dan pemandu teksi V Balamurugan hari ini dilepas serta dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi yang berasingan di sini.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Suffian Jaafar memaklumkan pihaknya mendapat arahan daripada Peguam Negara supaya tidak meneruskan prosiding terhadap kedua-dua tertuduh.

Mohamad Suffian juga berkata arahan itu adalah mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah dan memaklumkan bahawa pihaknya tidak mempunyai alasan lain, oleh itu, terpulang kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan.

Muhammad Jamil, yang mendengar satu daripada kes Gunasekaren, 61, berkata memandangkan pendakwaan telah memohon untuk menghentikan prosiding terhadap tertuduh mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah dan tidak mempunyai alasan lain maka mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk membuat keputusan.

"Oleh itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan yang dihadapinya," kata hakim tersebut.

Mohd Nazlan juga membuat keputusan sama dengan melepas dan membebaskan Gunasekaren daripada pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.

Terdahulu, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Gunasekaren, memberitahu mahkamah bahawa memandangkan pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes terhadap Gunasekaren, pembelaan memohon supaya tertuduh dilepas dan dibebaskan, bukannya dilepas tanpa dibebaskan.

"Dalam kenyataan media baru-baru ini, Peguam Negara Tan Sri Thommy Thomas memutuskan bahawa tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh ke atas mana-mana 34 pertuduhan yang dihadapi mereka.

"Peguam Negara juga telah memutuskan untuk menghentikan prosiding terhadap kesemua tertuduh berkuat kuasa serta-merta,” kata peguam itu.

Selepas mahkamah membuat keputusan, ADUN itu memeluk dan mendukung cucu lelakinya sejurus keluar dari kandang tertuduh.

Gunasekaren didakwa memberi sokongan kepada LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama "DAP Guna Palanisamy" di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman di sini pada 2 petang 7 Okt 2019.

Dia juga berdepan pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka lebih kurang 8.30 malam pada 28 Nov 2018.

Gunasekaren didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ahmad Shahrir melepas dan membebaskan Balamurugan, 38, daripada lima pertuduhan yang dihadapinya.

Mohamad Suffian turut memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan mungkin tidak akan mendakwa semula tertuduh pada masa akan datang.

Balamurugan didakwa memberi sokongan kepada LTTE dalam satu majlis, memiliki item yang mempunyai unsur keganasan atau berkaitan dengan kumpulan itu dan mempamerkan item berunsurkan perbuatan ganas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tiga lokasi di Sungai Siput Utara, Perak iaitu di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar; Pekarangan Stesen Teksi dan Taman Bukit Medan, Perak dan di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Cawangan Khas Bukit Aman antara 28 Dis 2014 hingga 10 Okt 2019.

Bagi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE, Balamurugan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama manakala bagi pertuduhan memiliki dan mempamerkan item, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 130JB(1)(b) yang berdepan hukuman maksimum penjara tujuh tahun, atau denda, dan dilucuthakkan mana-mana item terbabit, jika sabit kesalahan.

Balamurugan diwakili peguam J Matthews, Omar Kutty Abdul Aziz dan Muhammad Farhan Ahmad Fadzil.

Sementara itu, Ramkarpal ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata Gunasekaren telah dibebaskan sepenuhnya dan tidak akan menghadapi apa-apa prosiding selepas ini.

“Bagi tertuduh lain, kemungkinan kami akan kembali ke mahkamah dalam masa dua atau tiga hari lagi supaya mereka juga akan dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan," katanya.

Gunasekaren dan Balamurugan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama peguam masing-masing.

Beberapa pemimpin DAP, termasuk penasihat parti itu Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, hadir di mahkamah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS