Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Langkah Sheraton' bawa Malaysia ke jalan buntu: Apa seterusnya?

Selepas perdana menteri sementara Dr Mahathir Mohamad menyampaikan perutusannya yang disiarkan secara langsung di televisyen pada petang ini, semakin jelas kesan "Langkah Sheraton" yang tidak hanya terbatas kepada tumbangnya kerajaan PH.

Gerakan itu, yang dikatakan sebagai usaha penjajaran kuasa politik, juga menerbalikkan struktur dua gabungan (kerajaan dan pembangkang), dan seterusnya memecahkan politik Malaysia kepada tiga blok.

"Langkah Sheraton" merujuk kepada perhimpunan 11 anggota parlimen yang meninggalkan PKR untuk bergabung dengan Bersatu, BN, PAS, GPS dan Warisan di Sheraton Hotel, Petaling Jaya pada malam Ahad lalu, dalam usaha mengambil alih Putrajaya daripada PH dengan menggunakan nama Perikatan Nasional.

Mahathir, yang tidak membuat kenyataan terbuka sejak 'Langkah Sheraton' hari ini akhirnya bersuara.

Dalam perutusannya, beliau menjelaskan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu kerana tidak bersetuju dengan tindakan partinya sendiri dan 11 ahli parlimen dari PKR yang meninggalkan PH sehingga membawa kepada tumbangnya PH.

Mahathir, juga menjelaskan bahawa beliau meletakkan jawatan kerana tidak mahu bekerjasama dengan Umno.

Namun, satu lagi bahagian dalam ucapannya yang menjadi tumpuan adalah hasratnya untuk menubuhkan kerajaan yang "tidak berpihak kepada mana-mana parti".

"Saya berpendapat betul atau tidak, politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenarkan saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan," katanya.

BN dan PAS semalam memberi gambaran hasrat Mahathir itu apabila mereka mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Mahathir sebagai calon perdana menteri.

Sokongan pada Dr M berubah

Selepas mengetahui hasrat itu, BN dan PAS, yang pada mulanya menyokong Mahathir, memutuskan untuk meminta Yang Di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Sementara PH, yang berharap Mahathir akan memulihkan kerajaan Pakatan Harapan yang tumbang, menamakan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri setelah mengetahui langkah yang mahu diambil Mahathir seterusnya.

"Mahathir akan menentukan siapa yang akan menjadi menteri kabinet. DAP dan parti politik lain tidak akan dilibatkan dalam proses rundingan itu.

"Ia adalah kerajaan Mahathir dan bukan kerajaan PH. Janji-janji manifesto PH tidak akan dipenuhi," kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor dari DAP, Ramkarpal Singh.

Dalam kata lain, Mahathir inginkan sistem presiden - yang memberi kuasa mutlak kepada presiden yang dilantik untuk memilih anggota pentadbiran.

Tetapi konsep itu asing kepada sistem Westminster Malaysia di mana parti-parti komponen dalam parti pemerintah terlibat dalam membuat keputusan.

Dalam tempoh empat hari, Mahathir menyaksikan dari mendapat sokongan penuh di Dewan Rakyat kepada sekadar kurang daripada satu pertiga sokongan ahli parlimen.

Pada mulanya, sokongan ahli parlimen kepada Mahathir dari kedua-dua pihak adalah berdasarkan dari kepentingan politik, kerana PH dan Perikatan Nasional berharap perdana menteri sementara itu akan berpihak kepada mereka.

Tetapi setelah mengetahui bahawa Mahathir tidak akan berpihak kepada mana-mana kumpulan, mereka mula menukar sokongan.

Tiga blok utama

Susulan perkembangan ini, konfigurasi politik kini dibahagikan kepada tiga blok utama - blok kerajaan perpaduan yang ingin diwujudkan Mahathir, blok PH dan blok BN-PAS.

Blok kerajaan perpaduan yang ingin diterajui Mahathir, setakat malam ini, dijangka mendapat sokongan 64 daripada 222 ahli parlimen di Dewan Rakyat.

Meskipun Mahathir kecewa dengan tindakan Bersatu yang cuba membentuk gabungan dengan Umno, 25 ahli parlimen daripada Bersatu hari ini mengulangi sokongan mereka kepada Mahathir. Termasuk dirinya sendiri, Mahathir mempunyai 26 kerusi.

Sementara itu, setelah gagal dalam rancangan 'Perikatan Nasional' mereka ekoran BN dan PAS sudah menarik diri, kesemua 11 ahli parlimen yang meninggalkan PKR yang diketuai oleh Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, hari ini menyatakan sokongan kepada cadangan kerajaan perpaduan di bawah Mahathir.

GPS (18 ahli parlimen) dan Warisan (9 ahli parlimen) sebelum ini menyuarakan sokongan kepada Mahathir tetapi sokonga mereka mungkin bertukar setelah mengetahui cadangan Mahathir.

GPS, yang semalam mengisytiharkan sokongan untuk Mahathir, hari ini mengeluarkan kenyataan lain bahawa ia akan bertindak "demi kepentingan negara tanpa mengorbankan hak dan kepentingan Sarawak" tetapi tidak menyebut sebarang nama.

Sementara itu, blok BN-PAS, yang juga dikenali sebagai Muafakat Nasional, memegang sokongan 60 ahli parlimen terdiri daripada Umno (39), PAS (18), MCA (2) dan MIC (1).

Blok yang dijangka mendapat sokongan paling banyak adalah blok PH, dengan memegang 92 sokongan ahli parlimen. Mereka terdiri daripada DAP (42), PKR (39) dan Amanah (11). Jumlah ini selepas menolak 11 ahli parlimen yang meninggalkan PKR.

Selebihnya, iaitu Gabungan Bersatu Sabah (2), Upko (1), Parti Bersatu Sarawak (1) dan seorang ahli parlimen bebas.

Memecah kebuntuan

Buat masa ini, tumpuan kembali kepada Istana Negara. Yang Di-Pertuan Agong hari ini selesai menemu bual hampir semua 222 Ahli Parlimen untuk menentukan sokongan mereka.

Dalam situasi ini, Agong boleh menjemput pihak yang mendapat paling banyak sokongan - jika berdasarkan perkiraan di atas ialah Anwar - untuk cuba membentuk gabungan majoriti

Sekiranya kerajaan majoriti tidak dapat ditubuhkan, blok yang mendapat paling banyak sokongan boleh membentuk kerajaan minoriti.

Alternatif lain, Agong boleh memutuskan untuk membubarkan parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.

Pada hari keempat selepas "Langkah Sheraton", hala tuju politik atau penubuhan kerajaan baru di Malaysia terus kabur.

Bagaimanapun, dalam tempoh terdekat, dijangkakan konfigurasi tiga blok ini boleh berubah sekiranya pihak-pihak yang terlibat menukar sokongan untuk menjadi "kingmaker".

Lihat Komen
ADS