'Dr M enggan beri komitmen penuhi janji manifesto PH'
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak lagi komited untuk memenuhi janji-janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) , dakwa setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata Mahathir menyatakan demikian semasa mesyuarat mereka pada 25 Februari lalu.
Lim berkata PH - yang terdiri daripada PKR, Amanah, DAP dan Bersatu - terikat dengan manifesto pilihan raya.
“Keempat-empat parti ini mungkin mempunyai ideologi dan aspirasi yang berbeza, tetapi kami telah mencari satu titik persamaan dan terikat dengan Manifesto Pilihan Raya Umum yang telah dipersetujui bersama,” katanya.
Lim berkata sejak 21 bulan lalu, janji pilihan raya telah dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Ini termasuk:
- Penurunan kadar tol untuk Lebuhraya Utara Selatan sebanyak 18 peratus untuk kenderaan persendirian.
- Projek MySalam yang menawarkan bantuan kewangan di antara RM4,000 sehingga RM8,000 untuk mereka yang menghidapi salah satu daripada 45 penyakit kritikal.
- Pemasuhan GST.
- Penjimatan lebih daripada RM50 bilion melalui rundingan semula dan rasionalisasi projek kerajaan BN terdahulu
- Memulakan skim e-wallet.
- Mewujudkan 350,000 pekerjaan melalui program Malaysia @ Work bernilai RM6.5 bilion.
Perlu diingatkan bahawa Lim hanya menyenaraikan pencapaian oleh Kementerian Kewangan, yang pernah diketuainya.
Tugas akhir Lim sebagai menteri kewangan adalah menyediakan pakej rangsangan ekonomi, yang dijangka diumumkan oleh Mahathir hari ini.






