Sejarah Rasulullah SAW semasa pembukaan Mekah menjadi rujukan kepada PAS menentukan sikap terhadap seseorang yang pernah dimusuhi parti itu.

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Khairuddin Aman Razali, petang tadi menjelaskan, semasa Nabi Muhammad SAW menguasai Mekah berlaku pengampunan beramai-ramai terhadap pihak yang pernah memusuhi baginda.

Antaranya, kata Khairuddin, termasuklah Hindun Utbah yang bertanggungjawab mengarahkan agar salah seorang panglima utama Islam, Hamzah Abdul Mutalib.

"Ia adalah hari rahmah kasih sayang, bukannya membalas dendam," tulis beliau di media sosial.

Walaupun tidak menamakan sesiapa untuk status tersebut, ahli parlimen Kuala Nerus itu dipercayai membuat kenyataan tersebut untuk mengulas kemasukan Adun Pengkalan Batu di Melaka, Norhizam Hassan Baktee.

Untuk rekod, Norhizam ialah wakil rakyat DAP yang memenangi kerusi berkenaan menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH). Beliau juga sebelum ini dilantik sebagai salah seorang exco Melaka dan dikenang ramai orang kerana kegigihannya menangani masalah babi.

Semasa sidang DUN Melaka pada Nov tahun lalu, speaker, Omar Jaafar, secara berseloroh menggelarkan Norhizam sebagai juara penembak babi berdasarkan pencapaiannya itu.


Baca 'Apakah tiada sekelumit iman di hati para pelompat parti ini?'


Petang tadi Norhizam bersama seorang Adun PKR, Muhammad Jailani Khamis, menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional sekali gus membawa PH kian pasti jatuh di Melaka.

Norhizam - yang sebelum ini menganggotai Umno sebelum beralih arah kepada DAP pada 2006 - sendiri mendakwa beliau "menjadi barua" kepada partinya.

“Bila hati dan jiwa dah serahkan ini berlaku, saya kecewa. Ini saya balik ke pangkuan,” katanya. 

Kedua-dua Adun itu bagaimanapun mendakwa mereka tidak meninggalkan parti masing-masing sebaliknya memberikan sokongan atas kapasiti peribadi.

Untuk rekod, PAS sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadikan DAP sebagai musuh utama mereka dan gigih mahukan kerajana yang bebas daripada parti tersebut.

Menurut Khairuddin, PAS juga berpendirian untuk menerima mana-mana pihak yang dapat menerima parti berkenaan.

"Kami menerima sesiapa yang bersedia menyokong dan mendukung kerana kita mahu meramaikan kawan dan mengecilkan bilangan lawan," katanya.