Samy mahu dedah pemilikan saham Subra dalam Malaysian Nanban
'Perang' antara Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu dengan Datuk S Subramaniam berterusan hari ini apabila Menteri Kerjaraya itu berkata beliau akan mendedahkan pemilikan saham timbalannya itu dalam Malaysia Nanban, akhbar berbahasa Tamil yang dikatakan sering mengkritik kepimpinan MIC.
'Perang' antara Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu dengan Datuk S Subramaniam berterusan hari ini apabila Menteri Kerjaraya itu berkata beliau akan mendedahkan pemilikan saham timbalannya itu dalam Malaysia Nanban, akhbar berbahasa Tamil yang dikatakan sering mengkritik kepimpinan MIC.
"Beri saya dua hari...adakah beliau (Subramaniam) menafikan laporan NST (New Straits Times) bahawa beliau memiliki 50 peratus saham dalam Malaysia Nanban?
"Adakah beliau juga akan berkata yang beliau berikan kepada orang lain untuk menyimpan saham itu dan parti tidak memulangkannya semula? Minta beliau ingat betul-betul," katanya kepada pemberita selepas penamaan calon pergerakan Pemuda dan Wanita MIC.
Semalam, Samy Vellu menuduh Subramaniam menikam beliau dari belakang. Ianya berpunca daripada laporan muka depan dua akhbar Tamil Rabu lalu yang menyebut beliau (Samy) berkata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berusaha untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India.
Ketua Pemuda MIC S.A. Vigneswaran dan timbalannya S. Ramis memenangi jawatan mereka tanpa bertanding selepas penamaan ditutup hari ini.
Menurut laporan Bernama, dengan kemenangan itu, Vigneswaran, 40, yang juga Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan akan memimpin pergerakan itu bagi penggal kedua.
Dalam ucapan kemenangannya, Vigneswaran berkata langkah beliau seterusnya ialah untuk memperkukuhkan Briged Putra, cabang Pemuda MIC.
"Kita mahu mewujudkan kesedaran di kalangan generasi muda India dan mendedahkan mereka akan masalah yang dihadapi masyarakat kita," katanya.
Sementara itu, perebutan bagi jawatan ketua Wanita MIC menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Datin Paduka Jaya Partiban, setiausaha Komala Krishnamoorthy dan ketua Wanita Bukit Bintang G. Rajeswary.
Komala juga ketua Wanita MIC Selangor dan Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran.

