Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar yakin isu Kampung Baru selesai tak lama lagi

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, memohon agar beliau diberikan masa untuk menyelesaikan isu pembangunan Kampung Baru.

Jelasnya, beliau akan meneliti isu tersebut bersama pihak kementerian dan mendengar taklimat dari mereka terlebih dahulu.

“Saya rasa tolong beri saya masa.

“Saya kena dengar taklimat dari pihak kementerian dahulu,” katanya ketika ditemui di Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya hari ini.

Isu pembangunan Kampung Baru menjadi satu daripada cabaran besar buat kementerian terbabit ketika ia diketuai Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Annuar sendiri pada Sept 2019 pernah dilaporkan sebagai berkata, isu pembangunan Kampung Baru tidak perlu dipolitikkan oleh PH dan boleh selesai jika pemilik tanah di kawasan terbabit ditawarkan dengan harga pasaran.

“Tak payah nak politik Kampung Baru. Bayar ikut harga pasaran, selesai,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette yang memetik salah satu ciapan beliau.

Sebelum ini kerajaan PH menawarkan harga RM1,000 untuk setiap kaki persegi tanah yang akan dibangunkan dan keputusan mengenainya dijadual diketahui pada Jun ini.

Kata Annuar beliau menjangkakan tidak perlukan masa yang lama untuk menyelesaikan isu pembangunan Kampung Baru berdasarkan latar belakang pendidikannya sebagai profesional.

“Isu ini tidak akan ambil masa lama sebab saya perancang bandar profesional,”katanya lagi.

Lihat Komen
ADS