AS gantung perjalanan dari Eropah
GLOBAL l Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan Amerika Syarikat akan menggantung semua perjalanan dari Eropah ke negara itu selama 30 hari dalam usaha ‘agresif’ untuk mengekang pandemik Covid-19 yang menjejaskan pasaran saham serta menular dengan pantas.
Trump mengumumkan larangan perjalanan secara langsung di televisyen bersama dana kecemasan untuk merangsang ekonomi Amerika Syarikat.
"Ini bukan krisis kewangan. Ini hanya buat sementara yang akan kita atasi bersama sebagai sebuah negara dan sebagai dunia."
Namun, Trump berkata, sekatan itu tidak termasuk pengembara dari United Kingdom (UK) yang keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), baru-baru ini.

Beliau juga menolak kritikan bahawa kepimpinannya telah bertindak tidak mencukupi ketika krisis itu, malah menegaskan bahawa ‘virus berkenaan tidak akan ada peluang langsung’.
Pasaran dunia terus menjunam susulan pengumuman itu, dengan niaga hadapan S&P500 AS menjunam lebih 3 peratus, manakala indeks Nikkei Jepun dan S & P/ASX 200 Australia masing-masing susut lebih 4 peratus. Nilai dolar hilang 1 peratus berbanding yen.
Pengumuman Trump dibuat selepas Itali, negara yang paling teruk terjejas di Eropah, melaksanakan kawalan paling ketat di negara Barat sejak Perang Dunia II dengan menutup bar, kedai pendandan rambut dan restoran serta sekatan lain yang sedia ada.
Negara-negara lain di Eropah yang juga terjejas menutup sekolah dan membatalkan acara sukan dan perhimpunan lain. Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan menggantung perlawanan musim ini selepas pemain Utah Jazz diuji positif.






