Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN l Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa orang Melayu tak boleh terima Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kerana falsafah politik liberalnya.

Saya tidak setuju dengan Mahathir dalam soal ini. Kalau hendak tahu sama ada orang Melayu sokong Anwar atau tidak maka beliau sepatutnya memberi peluang kepada pemimpin itu menjadi perdana menteri seperti yang dijanjikan.

Namun janji ini tidak dipenuhi tetapi sebaliknya dimungkiri. Ini bercanggah dengan budaya Melayu. Ada bidalan Melayu, “kerbau dipegang pada talinya; manusia dipegang pada janjinya”.

Memang ada orang Melayu yang tak suka pada Anwar. Mereka ini hanya segelintir saja. Hanya beberapa kerat orang saja.

Mereka ini terdiri daripada kalangan kapitalis kroni Melayu yang berpengaruh yang menguasai politik, ekonomi dan media massa.

Kapitalis kroni yang jutawan, maha jutawan dan bilionaire ini kebanyakan menjadi kaya raya semasa Mahathir jadi perdana menteri ke-4 selama 22 tahun lalu dan kembali berkuasa baru baru ini dengan menjadi perdana menteri ke-7.

Melayu terus miskin

Kapitalis kroni Melayu ini yang menentang kuat dasar ekonomi yang hendak dibawa oleh Anwar apabila Anwar jadi Perdana Menteri.

Agenda ekonomi rakyat jelata yang miskin, yang berpendapatan rendah, yang hidup susah dan menderita dari pelbagai kaum yang majoriti dalam kelas bawahan ini rakyat Melayu yang ingin diangkat oleh Anwar supaya mereka ini bebas dari kemiskinan dan kemunduran melalui reformasi ekonomi amat ditakuti oleh kelas elit berkuasa Melayu.

Anwar amat tahu Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu telah disalahgunakan oleh pemimpin-pemimpin politik Melayu, elit ekonomi dan elit berkuasa Melayu untuk mengkayarayakan diri mereka sendiri.

Mereka membiarkan majoriti rakyat Melayu terus hidup miskin dan melarat. Dr Mahathir perlu mengakui selama tempoh 22 tahun tambah dua tahun lagi sebagai perdana menteri beliau hanya berjaya melahirkan beberapa kerat jutawan, mahajutawan dan bilionaire Melayu.

Tetapi dia sebenarnya gagal melepaskan puluhan juta orang Melayu lain daripada cengkaman kemiskinan dan kemunduran.

Anwar ditahan di bawah Akta ISA selama dua tahun kerana memperjuangkan nasib orang Melayu miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974. Agenda menolong orang Melayu miskin ini diteruskan semasa beliau menjadi menteri kewangan dan timbalan perdana menteri.

Bukan macai Anwar

Anwar juga semasa mahasiswa memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Ini diteruskan apabila beliau menjadi menteri pelajaran dan timbalan perdana menteri.

Semasa menjadi pemimpin beliau pula membela nasib rakyat Melayu di selatan Siam daripada kekejaman penindasan regim tentera Thailand di bawah kepimpinan Perdana Menteri Thanom Kittikarchon.

Anwar pemimpin dunia Islam dari Nusantara Melayu yang telah memperjuangkan nasib rakyat Palestin sejak dari beliau muda hinggalah sampai kini.

Saya menyatakan ini bukan untuk menjadi macai Anwar atau mahu mengampunya. Saya tak perlu itu semua. Saya menulis dan bercakap seperti ini kerana saya melihat dengan mata kepala saya tentang perjuangannya.

Beri peluang Anwar jadi perdana menteri kalau hendak lihat rakyat Melayu yang miskin, nelayan, petani, buruh, penjawat awam bawahan dan menengah sokongnya atau tidak.

Dr Mahathir telah mungkir janji kepada Anwar. Mahathir telah menafikan hak rakyat Malaysia dalam PRU-14 untuk mendapatkan Anwar menjadi perdana menteri mereka yang ke-8.

Tetapi Mahathir tidak akan menongkat langit. Anwar akan kembali ke Parlimen Malaysia.

Anwar kini menjadi Presiden PKR yang lebih teguh dan bersih selepas tersingkirnya para pengkhianat. Anwar dan rakan-rakan kepimpinan dalam Pakatan Harapan akan memperkuatkan PH dalam Parlimen Malaysia dan lebih bersedia menghadapi PRU ke-15.

Dr Mahathir boleh mencemuh dan menghina Anwar sekarang dengan Anwar tetap sopan dan tidak mahu menyerang balas secara kasar dan tidak berhemah.

Tetapi dia tidak boleh menahan Anwar untuk bangun kembali memimpin rakyat Malaysia secara keseluruhannya secara inklusif dari semua kaum dan agama. Masa hadapan terbuka kepada Anwar. Masa Dr Mahathir pula telahpun berlalu.


HASSAN ABDUL KARIM adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS