Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Kerajaan tamatkan khidmat pengerusi Mara
Diterbitkan:  Mar 18, 2020 3:50 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Kerajaan dilaporkan menamatkan khidmat Hasnita Hashim sebagai pengerusi Mara, selepas kira-kira 18 bulan memegang jawatan itu.

Turut ditamatkan perkhidmatan ialah sejumlah ahli majlis Mara, iaitu Jamelah Jamaluddin, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff, Nungsari Ahmad Radhi, Ameer Ali Mydin, Syed Tamim Ansari Syed Mohamed, Zakri Mohd Khir dan Ahmad Baslan Che Kassim.

Menurut laporan Focus Malaysia yang memetik sumber, mereka menerima surat penamatan khidmat hari ini.

Menurut laporan itu, khidmat mereka ditamatkan kerana mereka dilihat sebagai "lantikan politik" kerajaan PH.

Bagaimanapun, menurut laporan itu lagi, salah seorang yang ditamatkan khidmat berkata pelantikan mereka selepas ditemuduga dan dinilai oleh Majlis Penasihat Negara yang dipengerusikan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Mereka adalah sebahagian daripada rancangan majlis tersebut untuk mendapatkan tokoh korporat dalam menstrukturkan semula badan berkanun seperti Mara, katanya.

Mara berada di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Menterinya yang baru, Abdul Latiff Ahmad, adalah seorang bekas anggota Parlimen Umno yang menyertai Bersatu pada Februari 2019.

Mempunyai pengalaman selama 26 tahun dalam pengurusan kewangan global, Hasnita dilantik menjadi pengerusi Mara pada 1 Oktober 2018. Selain itu beliau juga pengerusi Maybank Asset Management Group dan ahli lembaga pengarah Kumpulan Maybank.

Lihat Komen
ADS