mk-logo
Berita
Pemuda Amanah cadang bantuan bulanan RM1,500 setiap keluarga
Diterbitkan:  Mar 19, 2020 4:58 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Pemuda Amanah mencadangkan kerajaan mempertimbang pemberian wang tunai RM1,500 secara bulanan kepada setiap keluarga sepanjang krisis Covid-19.

Timbalan ketuanya Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, ia bagi membantu rakyat membeli barangan keperluan sepanjang tempoh krisis, selain memberi kebaikan kepada ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

“Benar, ia (pakej ransangan RM1,500 sebulan kepada keluarga) akan mengakibatkan perbelanjaan negara defisit.

“Namun dalam keadaan sekarang, langkah suntikan dana terus ke tangan rakyat adalah baik untuk ekonomi jangka panjang dan juga dapat menampung cabaran kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 27 Feb lalu, Dr Mahathir Mohamad ketika berkhidmat sebagai perdana menteri interim mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion untuk membantu negara berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat penularan Covid-19.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat langkah tambahan terhadap pakej itu, ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19.

Ia melibatkan bantuan tunai bulanan kepada pekerja berpendapatan bawah RM4,000 yang terpaksa bercuti tanpa gaji, diskaun caj elektrik, pembayaran awal Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pelaksanaan projek-projek kecil PRE2020.

Suasana lengang di ibu kota pada hari pertama perintah kawalan pergerakan

'Suntikan dana 5 peratus KDNK'

Dalam pada itu, Pemuda Amanah juga menyarankan kerajaan untuk menyuntik dana sekurang-kurangnya lima peratus daripada nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK), seperti yang dilakukan oleh beberapa negara maju dan membangun lain.

“Nilai KDNK 2019 Malaysia adalah sebanyak RM1.42 trillion. Jadi kerajaan sepatutnya menyuntik sekurang-kurangnya RM70 bilion ke dalam ekonomi.

"Ini selaras dengan tindakan negara-negara maju dan membangun yang rata-rata menyuntik dana sebanyak lima hingga 15 peratus daripada nilai KDNK mereka.

“Yang pasti, suntikan RM20 billion yang telah diumumkan sebelum ini tidak akan mencukupi untuk menangani cabaran Covid-19,” katanya lagi.

Dua hari lalu, New Zealand mengumumkan pakej perbelanjaan bernilai NZ$12.1 bilion, bersamaan empat peratus nilai KDNK, dalam usaha menangani kesan ekonomi ekoran penularan Covid-19.

Ia termasuk subsidi pendapatan, memperkasa sektor perkhidmatan, bantuan tunai kepada keluarga berpendapatan rendah dan kebajikan sosial selain turut melibatkan pekerja yang terpaksa bercuti atau pekerja yang terpaksa menjaga ahli keluarga yang positif Covid-19.

Pekerja sepenuh masa di New Zealand akan menerima bantuan NZ$585 seminggu, manakala pekerja sambilan akan mendapat NZ350 seminggu.

Setakat ini, terdapat 28 kes di New Zealand, dengan 8 kes baru hari ini di negara berpenduduk hampir 5 juta orang itu.

Selain itu, Shazni turut mencadangkan agar gaji menteri dan timbalan menteri dipotong 50 peratus untuk dimasukkan ke dalam Tabung Covid-19.

“Ini sebagai komitmen yang tidak berbelah-bahagi para menteri dan timbalan menteri untuk bersama-sama empati terhadap kesusahan rakyat,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS