Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Trak saji kini tak dibenar operasi di KL, Putrajaya

Penyedia perkhidmatan trak saji (food truck) tidak lagi dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Mac.

Hal itu dimaklumkan Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan di pejabat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kuala Lumpur hari ini.

“Pada awalnya dikatakan boleh kerana (pelanggan) yang datang membeli secara bawa balik.

“Tapi daripada pemerhatian kita, operasi trak saji di Wilayah Persekutuan dalam jumlah banyak, satu-satu tempat sampai 30 ke 40, menyebabkan ia menarik khalayak (crowd) yang ramai. Itu bertentangan dengan tujuan perintah kawalan pergerakan.

“Maka mesyuarat hari ini memutuskan pengusaha trak saji tidak beroperasi, dan mereka pun bersetuju untuk memberikan kerjasama. Saya ucapkan terima kasih (kepada mereka),” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Sebelum ini, terdapat percanggahan tentang kebenaran operasi trak saji dalam soalan lazim Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan soalan lazim Kementerian Wilayah Persekutuan, yang menimbulkan kekeliruan pengusaha.

Dalam soalan lazim KPKT, pengusaha kenderaan saji adalah dibenarkan, tetapi hanya untuk khidmat pembungkusan, penghantaran atau pandu lalu.

Bagaimanapun, dalam soalan lazim Kementerian Wilayah Persekutuan, ia dilarang dan dikehendaki tutup sepenuhnya berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac berdasarkan Notis Penutupan Premis Perniagaan WPKL oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 17 Mac.

Tetapi dalam soalan lazim yang sama juga, membenarkan operasi trak saji di Putrajaya, hanya yang pembungkusan dan penghantaran.

Kedua-dua soalan lazim dikeluarkan pada hari sama, iaitu semalam.

Tambah Annuar, ekoran kekeliruan yang timbul, pihaknya telah berbincang dengan pengusaha trak saji dan persetujuan telah dicapai untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan kemeteriannya.

“Sepatutnya dah kuat kuasa hatta dari 18 Mac, tapi kerana ada kesamaran dari segi pelaksanaan, ada kata boleh ada kata tak boleh, kita putuskan trak saji tak dibenarkan membuka perniagaan buat masa ini,” katanya.

Lihat Komen
ADS