Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ada takut ditangkap' - NGO cadang langkah bendung Covid-19 dalam komuniti Rohingya
Diterbitkan:  Mar 20, 2020 4:19 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan semua kementerian untuk membendung penularan wabak Covid-19 di Malaysia, terutama dalam memastikan pelarian etnik Rohingya yang disyaki mengalami jangkitan, untuk melakukan pemeriksaan.

Presidennya Zafar Ahmad Abdul Ghani mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil, terutama dengan mengambil kira ada pelarian yang takut ditangkap jika membuat pemeriksaan.

"Pertama, mengadakan klinik bergerak untuk memeriksa individu yang mempunyai simptom, dan juga keluarga mereka, memandangkan kebanyakannya takut untuk keluar ketika perintah kawalan pergerakan kerana takut ditangkap.

"Selain itu, tiada tangkapan juga terhadap pelarian Rohingya yang masih tiada kad pelarian Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR). Ramai pelarian yang tiada kad itu ekoran proses penentuan status pelarian yang panjang," kata Zafar dalam kenyataan.

Selain itu, beliau juga meminta UNHCR melanjutkan operasi talian hotline kepada 24 jam, serta badan itu membantu pelarian Rohingya yang dijangkiti Covid-19, serta ahli keluarganya.

Terdapat kira-kira 100,000 etnik Rohingya tinggal di Malaysia selepas lari dari Myanmar, bagaimanapun mereka dianggap sebagai pendatang haram.

Reuters hari ini melaporkan pihak berkuasa Malaysia sedang mengesan kira-kira 2,000 orang Rohingya yang hadir ke himpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling Kuala Lumpur, akhir bulan lalu.

Angka itu kira-kira separuh daripada lebih 4,000 peserta yang masih cuba dijejak pihak berkuasa, bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Himpunan Tabligh merupakan kluster terbesar penularan Covid-19 di Malaysia, dengan lebih separuh daripada 900 kes mempunyai kaitan dengannya.

Kanak-kanak Rohingya di Malaysia

Dalam pada itu, Zafar berkata berdasarkan maklumat yang dikumpul daripada komuniti Rohingya, hanya 200 orang etnik itu yang menyertai program empat hari Tabligh itu.

Setakat ini, katanya lagi, Merhrom menerima dua kes Covid-19 daripada komuniti itu, salah satunya melibatkan seorang pelarian yang sudah dinasihatkan untuk ke hospital.

"Dia ke Hospital Ampang tetapi diminta ke Hospital Kuala Lumpur. Namun Hospital Kuala Lumpur meminta surat daripada klinik. Dia kemudian pulang ke rumah.

"Kes kedua melibatkan tiga pelarian Rohingya yang hadir ke Ijtima' Tabligh pada 28 Februari yang pergi ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan, tetapi diminta pulang tanpa menjalani ujian," dakwanya.

Katanya lagi, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran di kalangan komuniti Rohingya berkenaan wabak Covid-19 dan akan terus memantau keadaan komuniti itu.

"Kami menggesa semua pelarian menghubungi hotline UNHCR atau Merhrom jika ada apa-apa soalan. Merhrom akan terus membantu kerajaan Malaysia dalam menangani Covid-19," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS