Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siswa kutip derma beli makanan kucing - We gotchu kitties!

Ekoran penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara, ribuan pelajar institut pengajian tinggi mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, setakat ini, difahamkan hanya kira-kira 3,500 penuntut yang tinggal di kampus, berbanding kira-kira 20,000 jumlah keseluruhan siswa.

Bagi siswa yang tinggal di kolej, meskipun sedikit sulit, setidak-tidaknya mereka masih boleh membeli makanan daripada empat kedai makan yang dibuka bagi menampung keperluan makanan mereka sepanjang pelaksanaan PKP.

Bagaimanapun, buat ratusan kucing yang turut menghuni kampus UIAM Gombak sejak sekian lama, mencari sumber rezeki dalam keadaan kampus yang lengang sebegitu pastilah sesuatu yang amat sulit.

Menyedari hal itu, Kesatuan Pelajar UIAM mengambil inisiatif menganjurkan kutipan derma bagi membeli makanan kucing dan mengagihkannya di sekitar kawasan kolej, agar makhluk comel itu tidak terbiar kebuluran.

“Kami baru terima makanan kucing untuk semua kucing-kucing di kampus kami. Terima kasih semua penderma.

“Kalau kita lapar, mereka (kucing) juga lapar. We gotchu kitties! (Kami ada untuk bantu anda, kucing!)” -begitu hantaran yang dimuat naik kesatuan itu di Twitter.

Menurut Presiden Kesatuan Pelajar UIAM, Amir Nadzim Kaharudin, 23, usaha mendapatkan derma itu digerakkan kesatuan mahasiswa dengan kerjasama Kelab Abu Hurairah (kelab pencinta kucing UIAM) sejak dua hari lepas di semua platform media sosial.

Ia berjaya mengumpulkan sumbangan kira-kira RM2,500, yang kemudiannya digunakan hari ini untuk membeli kira-kira 20 guni makanan kucing yang akan diagihkan setiap hari di semua 17 kolej kediaman di UIAM Gombak.

Pembelian itu dibuat oleh wakil kesatuan mahasiswa dibantu wakil dari Pasukan Petugas Covid (Covid Task Force) UIAM, manakala pengagihan makanan pula dibantu oleh kira-kira 20 orang sukarelawan.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan soalan lazim PKP pada 17 Mac, sehari selepas pengumumannya oleh perdana menteri.

Kepulangan beramai-ramai penuntut IPT ke kampung masing-masing, antaranya disebabkan kekeliruan yang timbul daripada arahan PKP itu sendiri.

Para siswa pada asalnya tidak dibenarkan tinggal di kolej kediaman sepanjang pelaksanaan PKP dan diarahkan pulang, membuatkan mereka berpusu-pusu ke stesen bas untuk membeli tiket ke kampung masing-masing.

Larangan itu dipinda kemudiannya dalam versi baru soalan lazim yang memberi pilihan buat mereka tinggal di kolej, namun hanya dikeluarkan beberapa jam kemudian, ketika pelajar sudah pun berkerkumun di stesen bas.

Mengulas lanjut, kata Amir, sebelum ini siswa UIAM sememangnya terkenal dengan sikap suka memberi makanan kepada kucing-kucing di kampus itu, namun bilangan penuntut yang menyusut drastik, ditambah kedai makanan terhad membuatkan situasi menjadi berbeza.

“Ada kucing yang sudah beberapa hari tak makan, kebuluran. Bila buka pintu (bilik), lima ke enam ekor tunggu depan pintu nak makanan,” kata penuntut tahun empat Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat itu lagi.

Tambahnya, keadaan semakin teruk memandangkan pelajar-pelajar tidak dibenarkan untuk keluar sesuka hati daripada kampus untuk membeli makanan kucing.

Apabila pengagihan dibuat tadi, katanya, kucing-kucing itu memang berebut untuk mendapatkan makanan memandangkan ada yang tidak makan secukupnya selama beberapa hari.

“Memang kucing berebut makan (tadi). Memang kelaparan. Dah berapa hari. Kalau dapat makan pun mungkin dapat sisa-sisa yang sikit, itu pun nak dikongsikan berapa ekor,” katanya lagi.

Tambah Amir lagi, kesatuan mahasiswa masih cuba mencari lebih ramai sukarelawan yang sanggup turun padang untuk mengagihkan makanan kepada kucing-kucing di kesemua kolej kediaman.

“Kami masih cari (sukarelawan untuk tambah), sebab di UIAM ini banyak kucing.

“Kami memang cuba tampung (makanan) setiap kolej, setiap hari. Sebab setiap kolej ada banyak juga kucing. Memang kami cuba agih di 17 kolej hari-hari, insya-Allah,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS