BERITA

Ismail: Tiada sekatan pada kenderaan bawa bahan mentah

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Mac 2020, 11:40 malam

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa tiada sekatan bagi pihak yang ingin menghantar bekalan makanan.

Beliau berkata demikian sebagai menafikan dakwaan petani dan pekebun sayur di Cameron Highlands yang dikatakan terpaksa membuang lebihan hasil tanaman susulan sekatan jalan raya akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

“[...] kenderaan ini akan diberi laluan mudah, tiada sekatan kepada kenderaan yang bawa bahan-bahan mentah, bahan makanan dan sebagainya.

“Sebab itu isu fitnah ditimbulkan konon di Cameron Highlands tak boleh bawa keluar sayur dan sebagainya itu tidak benar kerana laluan mudah diberi oleh polis kepada kenderaan yang bawa makanan,” katanya dalam satu sidang media secara langsung hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan kebanyakan petani dan pekebun meluahkan keluhan susulan terpaksa membuang hasil tanaman mereka akibat peraturan PKP yang mengehadkan pembukaan pasar raya dan pergerakkan orang ramai.

Malah, ada petani mendakwa mereka terpaksa membuang beberapa tan sayur dan bisnes merudum sehingga 30 peratus.

Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin mendakwa terdapat kes terpencil pembuangan hasil pertanian di Johor dan Cameron Highlands dalam tempoh PKP.

Beliau turut menyeru kerajaan supaya mengambil langkah drastik dalam mengatasi kerugian yang dihadapi oleh petani sepanjang tempoh PKP.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim meminta pekerja khususnya di sektor pertanian supaya lebih bersabar sepanjang tempoh PKP.

Jelasnya, pihak berkuasa hanya menggesa pekerja sektor pertanian untuk mengurangkan tenaga kerja bukan menghalang untuk berniaga.

Sementara itu, Ismail turut menjelaskan bahawa pihak kerajaan akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

“Kerajaan akan ambil langkah terbaik untuk pastikan rakyat terbela,” katanya.

Untuk rekod PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu dan kini disambung sehingga 14 April bagi membendung penyebaran wabak Covid-19.

Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi serta premis kerajaan dan swasta melainkan perkhidmatan penting.

Pasar raya dan kedai menjual keperluan asas dibenarkan beroperasi dengan ketetapan waktu yang dihadkan oleh kerajaan.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.