Parti pembangkang tetap mahukan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya SalahLaku dan Aduan Polis (IPCMC) bagi membendung salahlaku dan penyelewengan dalam pasukan polis.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak boleh menoleh ke belakang lagi dalam penubuhan IPCMC.

Katanya, hanya IPCMC yang boleh menghentikan krisis dan disiplin dalam pasukan polis apabila mereka secara terbuka cuba menentang arahan Perdana Menteri.

"Kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar bahawa beliau merestui laporan dalaman yang mengkritik Abdullah dan Suruhanjaya Diraja Polis kerana mencadang penubuhan IPCMC itu, telah didedahkandalam lamanwab polis, menunjukkan tahap penentangan pihak polis terhadap kawalan awam dan pihak berkuasa," katanya.

Sebaliknya, kata Lim dalam satu kenyataan hari ini, bahawa artikel yang bertajuk "IPCMC - Kuasa yang tidak boleh dicabar" itu menunjukkan dengan jelas mengapa IPCMC perlu ditubuhkan.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai mengulas laporan lamanweb Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyebut bahawa pasukan itu menentang penubuhan IPCMC dengan pelbagai alasan termasuk ia boleh mengancam keselamatan negara dan menghakis kuasa politik pemerintah.

Lamanweb itu menyebut, penubuhan IPCMC itu juga tidak mengikut perlembagaan serta menganggu keselamatan awam.

Telus dan bertanggungjawab

Sehubungan itu, Lim menggesa Abdullah bertindak segera untuk menggerakkan agenda anti-rasuahnya dan mewujudkan pentadbiran yang baik, telus dan bertanggungjawab.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya yakin hanya IPCMC yang boleh membetulkan kepincangan pasukan polis.

Katanya, polis tidak perlu menentang penubuhan IPCMC kerana ia membantu untuk memulihkan imej pasukan itu yang teruk tercemar sekarang.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan juga perlu menubuhkan pemantau serupa terhadap beberapa agensi penguatkuasa lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan pihak berkuasa tempatan kerana turut terlibat dengan penyelewengan, terutama rasuah.

Shamsul Iskandar berkata, IPCMC perlu dilaksana segera bagi mengelak salahlaku dan penyelewengan anggota polis daripada berterusan dan orang awam menjadi mangsa seperti yang berlaku ke atas rakyat yang membuat demontrasi bantahan kenaikan harga minyak dan elektrik di ibu negara pada Ahad lalu.

Mengulas mengenai perkara yang sama, ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata, polis telah memberi isyarat kepada kerajaan supaya jangan mencampuri urusan mereka.

Katanya, polis sangat tertekan kerana mereka terpaksa menjalankan tugas di bawah telunjuk arahan berbentu politik dan bukannya secara profesional.

"Apa yang penting sekarang ialah menghentikan campurtangan politik supaya mereka dapat menjalankan tugas secara profesional untuk kebaikan rakyat keseluruhan dan bukannya pihak yang berkuasa," katanya lagi.