Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Terima kasih doktor, terima kasih KP KKM' - Dr Mahathir
Diterbitkan:  Mar 31, 2020 9:17 PM
Dikemaskini: 1:46 PM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menzahirkan ucapan terima kasih kepada golongan doktor khususnya Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah "yang ternampak hampir tidak berhenti-henti menjalankan tugas siang hari dan malam hari" dalam menangani krisis wabak Covid-19.

"Ini untuk (Dr Noor Hisham) menentukan segala tindakan yang perlu diambil dapat dilaksanakan oleh pegawai-pegawainya.

"Saya ucap terima kasih bagi pihak diri saya, isteri saya dan juga masyarakat umum kerana tugas seperti ini amatlah berat, merbahaya tetapi kesanggupan ketua pengarah kesihatan mengepalai usaha ini amatlah dihargai.

"Selamat menyambut Hari Doktor Sedunia," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian dalam sebuah video memaparkan beliau bersama isterinya Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang dihantar melalui ciapan di akaun Twitternya hari ini.

Pada penghujung video sepanjang 2.02 minit itu, Siti Hasmah menggesekkan alunan biolanya sebagai tanda penghargaan.

Terdahulu, dalam video itu, Dr Mahathir menjelaskan negara tidak pernah menghadapi serangan wabak penyakit seteruk Covid-19, lantaran itu menjelaskan betapa pentingnya tugas yang digalas seorang doktor.

Menurut MP Langkawi lagi, golongan doktor memainkan peranan penting dalam masyarakat dengan "memenuhi fardu kifayah," perkara yang wajib dilakukan oleh sebahagian anggota masyarakat untuk menjaga kepentingan umat Islam.

"Saya harap kita faham peranan yang dimainkan oleh doktor-doktor dan kita berterima kasih kepada mereka.

"Kalau kita sakit, pada masa itu kita sangat menghargai khidmat oleh doktor.

"Sekarang ini kita diserang oleh wabak yang dahsyat," katanya lagi.

Hari Doktor Sedunia disambut berbeza-beza bagi setiap negara. Antara yang menjadikan tarikh 30 Mac sebagai hari doktor ialah Amerika Syarikat (AS) dan Australia. Sementara itu, negara seperti Brazil dan Cuba pula menyambut hari doktor dengan cuti umum.

Bagaimanapun, dilaporkan sejak 2014, Persekutuan Pengamal Perubatan Swasta (FPMPAM) menyambut hari doktor di Malaysia pada tarikh 10 Oktober.

Di AS, tarikh 30 Mac dipilih sebagai sambutan hari doktor kerana menghargai pencapaian penggunaan ubat bius yang pertama dalam pembedahan, apabila Dr Crawford Long membuang tumor di leher pesakitnya James Venable pada 30 Mac 1842.

Untuk rekod, Dr Mahathir juga bekas pengamal perubatan dan pernah membuka klinik swasta pertama di Alor Setar selepas merdeka pada 1957, manakala isterinya Dr Siti Hasmah merupakan salah seorang doktor wanita Melayu yang terawal selepas tamat pengajian pada 1955.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS