Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemeriksaan rumah ke rumah di Sungai Lui, Hulu Langat

Pihak polis dan Kementerian Kesihatan akan memulakan ujian kesihatan di Sungai Lui, Hulu Langat dari rumah ke rumah bermula hari ini untuk memeriksa penduduknya yang mempunyai simptom Covid-19.

Pemeriksaan ini akan dijalankan di tujuh kampung di Sungai Lui yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)

Mereka yang mempunyai simptom akan dibawa untuk membuat ujian saringan di Klinik Desa di tempat itu, kata Ketua Polis Kajang , Dzaffir Mohd Yussof.

“Pada hari ketiga di bawah PKPD (hari ini) enam pegawai dan 53 anggota polis, dan beberapa agensi lain akan membantu untuk mengadakan bancian di tiga kampung.

“Sesiapa yang mempunyai simptom akan diminta untuk ke ujian saringan di Klinik Desa,” katanya kepada pemberita di sekatan jalan di jalanraya yang menuju ke kampung-kampung tersebut.

Dzaffir berkata proses untuk membuat pemeriksaan di semua kampung akan mengambil masa lebih kurang tiga hari.

Enam kampung ini dikenakan PKPD sejak 30 Mac selepas Kementerian Kesihatan mengesahka 71 kes positif Covid-19 di antara 274 penduduk daripada Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Sekatan PKPD akan berkuat kuasa sehingga 14April akan merangkumi 3,918 penduduk dari 700 keluarga di tujuh kampung.

Antaranya, Kampung Batu 21, Kampung Batu 22, Kampung Batu23, Kampung 24, Kampung Gemi, Kampung Orang Asli Paya Lebar dan Kampung Orang Asli Sungai Gabai.

Dalam perkembangan lain, Dzaffir berkata sebanyak 44 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP di daerah Kajang.

Ini termasuk seorang lelaki menyamar sebagai ahli Tabligh di Balakong pada 30 Mac.

Dzaffir berkata lelaki berusia 20-an itu, dilihat bersiar-siar di sebuah apartmen di kawasan itu dan mendakwa menghadiri tabligh di Masjid Sri Petaling ketika disiasat di ibu pejabat daerah Kajang.

“Kami memutuskan untuk mengasingkan lelaki tersebut dan memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan.

"Kami mendapati bahawa lelaki itu telah berbohong selepas berjumpa anggota keluarganya dan rakan-rakannya. Dia mengakui telah berbohong untuk melarikan diri daripada ditangkap polis,” katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS