Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi dilantik duta khas bukan sebab nak pujuk ahli PAS - Takiyuddin
Diterbitkan:  Apr 4, 2020 9:54 AM
Dikemaskini: 2:21 AM

PAS menafikan dakwaan pelantikan Presidennya Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri bertujuan untuk memujuk hati anggota parti itu.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menegaskan PAS khususnya Hadi tidak pernah meminta sebarang jawatan dalam kerajaan.

"PAS dalam hal ini turut menafikan dakwaan bahawa tindakan perdana menteri melantik YB presiden PAS sebagai suatu usaha memujuk dan memenangi hati ahli-ahli PAS.

"Ini kerana PAS lebih-lebih lagi presidennya tidak pernah meminta jawatan mahupun kedudukan dalam kerajaan, sebaliknya bersedia berkhidmat di mana jua demi menguatkan serta menjamin kestabilan kerajaan pimpinan perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PAS bentuk 'hisbah' pantau tugas

Khamis lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Hadi sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, pelantikan itu juga meletakkan presiden PAS terbabit sebagai bertaraf menteri.

"Perdana menteri bersetuju melantik Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu antara lain menyebut Abdul Hadi merupakan bekas naib presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia dan pernah menjawat jawatan menteri besar Terengganu pada 1999 hingga 2004.

Dalam pada itu Takiyuddin, berkata sehubungan dengan itu PAS akan membentuk satu jawatankuasa penasihat berbentuk ‘hisbah’ bagi memantau tugas dan menasihati anggota kerajaan daripada kalangan PAS.

Ia bagi memastikan agar mereka dapat menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan jujur dan yang terbaik negara.

"Memandangkan presiden PAS turut berada dalam kerajaan, mungkin jawatankuasa itu akan dilantik daripada kalangan pimpinan Majlis Syura Ulamak PAS.

"Sebelum ini PAS mempunyai jawatankuasa penasihat kerajaan Kelantan dan Terengganu yang dipengerusikan sendiri oleh presiden PAS," katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata PAS menzahirkan terima kasih dan menghargai kepercayaan perdana menteri melantik Hadi sebagai duta khas.


BACA BERKAITAN:

'Tuan Ibrahim kesal atau reda Hadi jadi duta?'

PAS: HARAPAN ikut jejak langkah BN lantik duta khas


PAS katanya yakin pelantikan itu membolehkan Hadi membantu kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam mengharmonikan lagi hubungan diplomatik dan antarabangsa khususnya dengan negara-negara Timur Tengah.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan pelantikan Abdul Hadi dilihat membuka peluang untuk memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara-negara di rantau Asia Barat.

Beliau dilapor Bernama "menegaskan ia bukan lantikan politik," sebaliknya berkata pelantikan Abdul Hadi itu dibuat bersandarkan kepada ketokohan dan kepimpinan yang ada pada beliau.

Lihat Komen
ADS