ULASAN | Pelantilkan Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri menarik berbagai komen terutamanya atas sebab waktu ia dibuat, iaitu ketika negara tertekan dengan Covid-19 dan krisis berjimat.

Dengan adanya duta khas tersebut, kerajaan perlu menambah tanggungan yang sekarang memiliki 70 orang menteri dan timbalan menteri. Justeru ia susah untuk diterima rakyat.

Saya amat hairan dengan komen ahli Majlis Tertinggi Umno, Fathul Bari Mat Jahya, yang menyatakan perlantikan Abdul Hadi boleh memperbaiki hubungan yang "merosot" dan "bermasalah" sebelum ini di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kenyataan berniat jahat tersebut bagaimanapun tidak memberi perincian sebenar menganai apakah masalah dan kemerosotan yang disebutnya.

Adakah penarikan keluar tentera Malaysia yang terlibat operasi perang Yaman dari bumi Arab Saudi itu antara "masalah" yang beliau maksudkan? Kalau jawapannya ya, mengapakah Umno atau PAS sepatah pun tidak membantah penarikan pulang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kita semasa sidang parlimen sebelum ini?

Sebagai pengerusi Biro Antarabangsa Amanah semasa PH belum menjadi kerajaan, kami berkali-kali membantah penglibatan secara senyap ATM bersama sekutu lain Arab Saudi - iaitu AS, Britain dan Perancis - dalam misi serangan ke atas Yaman seperti terkandung dalam laporan PBB setebal 241 muka.

Kerajaan BN-Umno tidak mengakui penglibatan tersebut dan PAS pula membisu.

Agak anih ketika Abdul Hadi - dalam suratnya kepada kepimpinan negara Islam Arab - menuduh PH berkerjasama dengan AS dan Eropah untuk menjatuhkan Dr Mahathir Mohamad, PAS pula tidak membantah langkah kerajaan BN-Umno bersekutu dengan Riyadh dan Washington menyerang Yaman, iaitu sebuah negara Islam yang kecil.

MCA nafi, MIC membisu

Kenyataan Abdul Hadi melalui Al Jazeera pula menyatakan, sebagai duta khas ke Timur Tengah beliau akan meneruskan dasar Mahathir iaitu semasa PH memerintah.

Soalannya ialah, apakah dasar atau polisi luar negara kerajaan kerajaan Pakatan Nasional (PN) hari ini?

Masalah utama PN adalah tiadanya manifesto atau dasar bersama parti-parti komponen yang dipersetujui kerana mereka terlalu ghairah dan terdesak membentuk kerajaan pintu belakang.

Sementara Umno-PAS dan Bersatu menyatakan kerajaan PN hari ini adalah kerajaan Melayu-Islam, MCA pula menafikan kenyataan itu, manakala MIC pula membisu.


Baca 'Saya tak mahu dengar orang kata PN kerajaan Melayu Islam'


Justeru ia menunjukkan bahawa mereka - Umno, PAS, Bersatu, MCA dan MIC - bersetuju untuk tidur sebantal tetapi bermimpi lain-lain.

Masalah sebenar yang patut diutarakan Fathul Bari bukanlah untuk memperbaiki hubungan yang rosak atau merosot sebaliknya memperbaiki kredibiliti atau penerimaan kerajaan PN ini di pentas dunia.

Tidak ada kerajaan utama dunia mengucapkan tahniah atas pembentukan kerajaan baru PN kerana mereka tidak mahu perkara memalukan sebegitu berlaku di negara masing-masing.

Ini sangat berbeza dengan sambutan positif dan meluas pemimpin serta rakyat dunia semasa kerajaan PH dibentuk selepas PRU14 kira-kira dua tahun lalu.

Masalah kedua sebenarnya ialah keperluan membina imej atau profil Malaysia di Timur Tengah. Ia sukar kerana memang susah untuk kepemimpinan PN menandingi ketokohan Mahathir.

Beliau terkenal diseluruh dunia, bukan hanya dalam kalangan pemimpin malah rakyat jelata tanpa mengira agama.

Sebantal mengigau lain-lain

Tokoh kedua selepas Mahathir yang terkenal di dunia juga adalah dari PH. Beliau ialah Awar Ibrahim yang aktif di negara Islam sejak muda semasa bersam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Tugas berat yang akan dipikul Abdul Hadi sebenarnya adalah untuk memperkenalkan perdana menteri baru, iaitu Muhyiddin Yassin, serta kerajaannya yang dianggotai pelbagai parti yang bermimpi hal-hal berbeza walaupun beralaskan bantal sama.

Negara-negara Arab memang tidak senang dengan cara PN membentuk kerajaan melalui pintu belakang kerana mereka bimbang ia boleh berlaku di negara masing-masing.

Kerana itulah agaknya Abdul Hadi masih mahu menumpang polisi Mahathir walaupun ia kelihatan jauh berbeza daripada arah tuju kerajaan PN.

Sepatutnya kerajaan PN berasa amat malu kerana kurang keyakinan diri serta kredibiliti sehingga terpaksa bergantung kepada ketokohan negarawan berusia 94 tahun yang baru-bari ini mereka gulingkan.

Kerajaan PN ini akan terus menjadi kerajaan yang tidak akan dapat dihormati sehinggalah mereka boleh berdiri di atas kredibiliti mereka sendiri.

Kalau dibiarkan terlalu lama, konsep "tidur sebantal mimipi lain-lain" ini akan bertukar menjadi "tidur sebantal mengigau lain-lain" pula. Ia hanya akan membawa padah kepada rakyat Malaysia.


RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah anggota Dewan Negara dari Terengganu dan pemimpin Amanah kebangsaan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS