Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesuruhjaya polis Sarawak positif Covid-19
Diterbitkan:  Apr 8, 2020 1:16 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Ujian saringan Covid-19 yang dijalankan ke atas Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail mendapati beliau adalah positif.

Aidi memberitahu Malaysiakini bahawa beliau ke Hospital Umum Sarawak (HUS) petang semalam selepas mengalami sakit tekak.

Hospital itu kemudian menelefonnya malam semalam untuk memaklumkan kepadanya bahawa beliau perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

"Saya kembali ke HUS malam tadi dan telah ditahan sejak itu," katanya.

Aidi berkata, isterinya dan anggota yang bekerja dengannya di ibu pejabat kontinjen polis Sarawak, termasuk mereka di pejabatnya, telah diarahkan supaya menjalani kuarantin sendiri sementara menunggu keputusan ujian Covid-19 mereka.

Menjawab soalan, beliau berkata telah hadir dalam beberapa mesyuarat peringkat negeri, termasuk dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkaitan Covid-19.

Aidi berkata jangkitan itu tidak menghalangnya daripada menjalankan tugas daripada wad pengasingan di hospital.

Sarawak salah satu negeri yang merekodkan jumlah kes positif Covid-19 yang tinggi di Malaysia.

Negeri itu mempunyai dua daripada empat kluster besar wabak itu.

Beberapa lagi anggota parlimen Sarawak dilaporkan positif Covid-19, iaitu Rubiah Wang (Kota Samarahan), Andrew Wong (Sarikei), Kelvin Yii (Bandar Kuching ) dan Menteri Muda Pengangkutan Dr Jerip Susil.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Awang Tengah Ali Hassan dan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Fatimah Abdullah dilaporkan menjalani kuarantin sukarela selepas mempunyai kontak rapat dengan individu yang positif.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS