Pelantikan untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu berdasarkan kemampuan dan pengalaman, bukan hanya kerana kedudukan sebagai anggota parlimen, kata Pengerusi PKR Kelantan Mohamad Suparadi Md Noor.

"Asas yang perlu diambil kira adalah latar belakang individu tersebut dan pengalaman mereka dalam bidang kewangan dan pengurusan.

"Kemampuan ahli Parlimen tersebut perlu diterjemahkan kepada kebaikan untuk kerajaan, masyarakat dan rakyat bukan sekadar hanya memenuhi kerusi untuk orang politik semata-mata," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

Beliau berkata tidak salah untuk melantik mana-mana individu, termasuk anggota parlimen, ke dalam GLC, dengan syarat individu tersebut layak mengikut kriteria yang ditetapkan.

Suparadi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkenaan beliau difahamkan semua anggota parlimen kerajaan akan dilantik untuk mengetuai GLC.

"MP PAS ada 18 orang, lapan orang dah jadi menteri dan timbalan menteri, seorang jadi duta khas perdana menteri ke Timur Tengah.

"Tinggal sembilan orang (lagi). Alhamdulillah saya difahamkan semua MP kerajaan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan GLC. Kerana mereka semua ini layak, mereka ini adalah ahli parlimen," katanya lagi.

Kenyataan itu dibantah beberapa pihak, antaranya bekas menteri Rafidah Aziz yang menyifatkannya sebagai langkah ke belakang, dan Pengasas kumpulan bekas penjawat awam kanan kerajaan G25 Mohd Sheriff Mohd Kassim yang menuntut penjelasan daripada Perdana Menteri muhyiddin Yassin.

Pemimpin Amanah yang juga bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Faiz Fadzil pula menyatakan perbezaan lantikan politik yang dibuat PH, yang menurutnya hanya melibatkan badan bukan komersial.

Bagaimanapun Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki membela langkah itu, yang berkata anggota Parlimen yang dilantik berperanan sebagai wakil rakyat yang memantau perjalanan syarikat.

Apa yang penting katanya, barisan pengurusan dan pentadbiran GLC itu bukan dilantik dalam kalangan orang politik.

Dalam pada itu, Suparadi berkata pelantikan dalam GLC penting bagi memastikan kelangsungan dan penambahbaikan entiti itu, dan tidak boleh dilihat sebagai habuan politik semata-mata.

"Kebanyakan GLC tersebut mempunyai dana yang cukup besar dan perlu diurus dengan baik. Memang benar setiap GLC itu ada ketua pegawai eksekutif yang mengurus intitusi tersebut tetapi ia harus bersandarkan kepada dasar yang dibuat oleh ahli-ahli lembaga pengarah atau pemegang amanah yang dilantik.

"Di sinilah pentingnya pengetahuan dan pengalaman setiap yang dilantik oleh pihak kerajaan yang sedia ada," katanya, yang tidak menolak bahawa ada ahli politik yang layak menerajui GLC, dengan memberikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai contoh, yang dikatakan bakal dilantik sebagai pengerusi Petronas.

"Individu sebegini memang layak, bukan hanya melantik kesemuanya berdasarkan tujuan politik semata-mata tanpa mengira latar belakang serta pengalaman," katanya lagi, yang menyifatkan langkah itu sebagai "tidak kena".

Untuk rekod, Suparadi sendiri dilantik sebagai pengerusi Tekun Nasional ketika pentadbiran PH tetapi meletakkan jawatan itu susulan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional.