Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Itu tanda iman ada di hati, kata ulama PAS
Diterbitkan:  Apr 20, 2020 8:49 AM
Dikemaskini: 12:56 AM

Seorang ulama terkenal PAS memuji sikap beberapa orang kenamaan Perikatan Nasional (PN) yang tampil meminta maaf semalam dan menganggapnya sebagai petanda mereka memiliki iman di hati.

Ahli Jawatankuasa Ulama PAS Pusat, Ahmad Dusuki Abd Rani, berkata beliau berasa bangga dengan cara jawaban yang diberikan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba.

Menyatakan rasa itu melalui hantaran di media sosial, Ahmad Dusuki berkata, beliau juga bangga dengan cara permohonan maaf yang ditunjukkan beberapa menteri dan exco yang didakwanya menjalankan tugas masing-masing.

"Demikianlah tanda adanya iman yang tersemat di hati setiap hamba, walaupun ia berstatus menteri," katanya.

Walaupun tidak menyebut selain nama Adham, Ahmad Dusuki dipercayai merujuk kepada Pesuruhjaya PAS Perak merangkap exco kanan negeri itu, Razman Zakaria, serta Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, yang menjadi sasaran kritikan orang ramai sejak kelmarin.

Mereka dikecam kerana dilihat melanggar peraturan kawalan pergerakan (PKP) kerana mengadakan majlis makan-makan. Polis Perak kemudian mendakwa VIP terbabit serta rombongan mereka menjaga jarak masing-masing.

Ia terus menimbulkan kemarahan orang ramai yang membandingkan apa yang berlaku itu dengan tindakan tegas yang dikenakan ke atas orang awam, sama ada dikompaun atau dipenjara atas kesalahan melanggar PKP.

Makin dikeji makin darjat tinggi

Mereka bukan saja dikritik oleh orang awam, beberapa pemimpin kanan Umno turut melontarkan kecaman. Antaranya Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, yang berkata jika kejadian seumpama itu berlaku di luar negara, VIP berkenaan akan meletakkan jawatan. 

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Bung Moktar Radin pula menggunakan perkataan "bangang" untuk menyatakan rasa berangnya.

“Tak faham aku, kalau kata tak bijak tak patut, kalau orang kata bangang mungkin ya.

“Hari-hari kita berkata jangan buat perkumpulan jangan makan ramai-ramai, jangan keluar rumah, dia buat juga.

Confirm bangang,” ciapnya di Twitter semalam. 


Baca 500 negara: Saya salah sebut, kata Adham


Turut dikaitkan dengan perbuatan melanggar PKP itu ialah Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; bekas menteri besar negeri terbabit, Ahmad Said; dan Ahli Parlimen Lipis merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Rahman Mohamad.

Bercakap kepada The Star, Abdul Rahman berkata, gambar yang ditularkan di media sosial telah disalah tafsir oleh warganet dan menafikan ia adalah majlis meraikan sambutan hari lahir.

"Ia tidak dirancang, ia bukan majlis hari lahir," katanya.

"Demikianlah tanda adanya iman yang tersemat di hati setiap hamba, walaupun ia berstatus menteri," kata Ahmad Dusuki.

Beliau yang juga terkenal sebagai penceramah berharap menteri dan exco terbabit meneruskan tugas mereka seperti biasa dan ianya akan dipertontonkan di akhirat nanti.

"Usah peduli cacian mereka yang pengeji!! Selama mana kalian dikeji, semakin tinggi darjat kalian di sisi Rabbul Izzati," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS