Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesalah ingkar PKP mula dihantar ke penjara khas
Diterbitkan:  Apr 25, 2020 3:46 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Individu yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana mengingkari perintah kawalan pergerakan (PKP) mula tiba di penjara bagi menjalani hukuman, kata Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Kata menteri kanan itu penjara khas berkenaan - yang merupakan bangunan Akademi Penjara yang diwartakan sebagai pusat tahanan - sudah mula beroperasi.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan 11 penjara khas untuk menempatkan pesalah PKP setelah mereka dihukum penjara oleh mahkamah.

"Setakat ini, penjara khas telah mula beroperasi.

“Sehingga kini, 58 individu dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah atas (kesalahan) ingkar PKP, dan mula dihantar ke penjara sementara tersebut,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Pusat tahanan sementara itu diwartakan selepas Jabatan Penjara menyatakan kebimbangan mereka terhadap kemungkinan wujud kluster baru Covid-19 jika pengingkar PKP ditempatkan bersama banduan sedia ada.

Hal itu juga melibatkan masalah penjara yang kini sesak kerana menempatkan banduan melebihi kapasiti asal.

Kerajaan pada awalnya mengumumkan 13 penjara sementara akan dibuka namun kemudian mengurangkan jumlah tersebut menjadi 11. 

Ismail Sabri berkata keadaan di penjara sementara tidaklah “lebih baik” berbanding penjara sedia ada.

Katanya pengingkar PKP yang dijatuhkah hukuman penjara juga akan dilayan sama seperti tahanan lain di penjara biasa.

Di bawah Seksyen 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, seseorang yang ingkar PKP boleh didenda maksimum RM1,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS