Pucuk pimpinan parti itu tidak mempunyai masalah untuk menerima orang bukan Islam sebagai ahli bersekutunya, Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang.

"Semua pucuk pimpinan termasuk majlis syura telah bersetuju. Ahli-ahli telah meyatakan persetujuan dalam muktamar ini. Kita akan laksanakan bila tiba masanya," kata beliau dalam sidang akhbar selepas muktamar agung PAS ke-52 di Kota Sarang Semut, Alor Star hari ini.

Bagaimanapun, katanya, ketika ini status orang bukan Islam dalam PAS akan kekal sebagai ahli kelab penyokong PAS dan akan dinaiktaraf sebagai ahli bersekutu apabila tiba masanya mengikut senario politik semasa.

Semua ini, katanya, adalah strategi dan kepimpinan PAS sentiasa terbuka untuk berkerjasama dengan orang bukan Islam.

"Sebenarnya isu ahli bukan Islam dalam PAS bukan perkara baru, sudah lama dibincangkan dan kali ini nampaknya semua pihak telah bersetuju," katanya.

Para perwakilan PAS dalam perbahasan di muktamar kali ini, telah menggesa pucuk pimpinan PAS menyegerakan menerima orang bukan Islam sebagai ahli PAS.

Contoh kerajaan Hamas

Menurut Hadi lagi, Islam memang tidak menghalang umatnya berkerjasama dengan orang bukan Islam, malah ini dibuktikan dari zaman Rasulullah lagi apabila Baginda berkerjasama dengan orang Yahudi.

Beliau juga memberi contoh kerajaan Hamas di Palestin sekarang yang mana terdapat menteri kabinetnya beragama Islam.

Hadi juga menyatakan, PAS sudah lama menembusi halangan perkauman ini, cuma pelaksanaannya belum dilakukan sepenuhnya.

Mengenai kemungkinan PAS mencalonkan orang bukan Islam yang belum menjadi ahli bersekutu PAS sebagi calonnya, Hadi berkata, itu tidak mustahil.

"Jika di sesuatu kawsan itu orang bukan Islam lebih menyenangi PAS daripada parti DAP, kita mungkin meletakkan calon kita. Dan mungkin berlaku pertembungan dengan DAP dan BN. Tetapi itu semua bergantung pada senario masa itu," katanya.

Persiapan awal pilihanraya

Menyentuh pilihanraya umum pula, Hadi berkata, PAS akan membuat persiapan awal untuk mempertahankan Kelantan dan menawan semula Terengganu.

"Kita akan memberi tumpuan pada negeri-negeri yang berpotensi untuk dimenangi. Selain kedua-dua negeri itu, tumpuan juga akan diberikan kepada Kedah dan Perlis," katanya.

Mengulas tentang kritikan para perwakilan terhadap pucuk pimpinan tertinggi parti dan ulama yang tidak turun padang bersama rakyat berdemonstrasi, Hadi menafikan dakwan tersebut.

Katanya, beliau sendiri bersama beberapa pemimpin ulama telah turun berdemonstrasi di ibu negara baru-baru ini.

"Malah tokoh dan ahli muslimat turut bersama. Cuma media tidak melaporkannya kerana yang kena tangkap adalah orang muda," katanya.