Paling Popular
Terkini

Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin masih menunggu maklum balas daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung surat daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mencalonkan beberapa pemimpin Umno di negeri itu memegang beberapa jawatan dalam kerajaan.

Katanya, hanya selepas maklum balas berkenaan Umno Sabah akan mempertimbangkan langkah seterusnya.

“Belum ada apa apa maklumat.

“Tunggu dulu respons perdana menteri,” katanya melalui teks pesanan kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian selepas ditanya perkembangan terkini mengenai cadangan dalam surat itu, dan apakah Umno akan membawa semula cadangan berkenaan kepada Muhyiddin selepas tamat musim Covid-19.

Bung Moktar juga ditanya mengenai pendiriannya sekiranya surat itu terus tidak dipedulikan meskipun setelah wabak berakhir nanti.

Pada 16 April lalu, sepucuk surat ditandatangani Ahmad Zahid yang meminta Muhyiddin mempertimbangkan melantik empat pemimpin Umno Sabah memegang jawatan-jawatan tertentu, atas nama semangat Perikatan Nasional (PN) mula tersebar.

Ini termasuklah cadangan melantik Bung Moktar yang juga ahli parlimen Kinabatangan, sebagai pengerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah; anggota Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin, sebagai timbalan menteri persekutuan; dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Rahman Dahlan, sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Sabah.

Turut dicadangkan dalam tuntutan berkenaan ialah Timbalan Ketua Umno Sabah merangkap ahli majlis tertinggi parti itu, Yakubah Khan, dilantik menjadi pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan.

Bung Moktar seterusnya dipetik sebagai berkata cadangan lantikan tersebut akan dapat membantu mengukuhkan PN, serta mengakui memang wujud rasa “terkilan” dan “marah” di kalangan Umno Sabah terhadap kerajaan persekutuan kerana tidak mendapat tempat dalam barisan kabinet.

Bung Moktar turut menekankan peri pentingnya mewujudkan keseimbangan antara Umno dan Bersatu di Sabah dari segi pengagihan jawatan, memandangkan katanya, tidak seperti Bersatu, tidak ada seorang pun wakil Umno Sabah yang diberikan apa-apa jawatan.

Muhyiddin mengumumkan kabinetnya pada 9 Mac, setelah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri gabungan PN pada 1 Mac lalu.

PN dibentuk di peringkat pusat di antara Umno, Bersatu dan PAS, disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) serta wakil bebas, melalui 'Langkah Sheraton” yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Sebelum ini pun, beberapa pemimpin dan veteran Umno telah pun menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap susunan kabinet Muhyiddin.

Mereka melihat Umno sebagai parti yang memiliki jumlah kerusi terbesar dalam PN dipinggirkan secara tidak adil.

Malah, jawatan yang diberikan kepada Umno hanyalah portfolio kementerian yang tidak kritikal, sedangkan lantikan Mohamed Azmin Ali - bekas timbalan presiden PKR yang kini menyertai Bersatu - sebagai menteri kanan turut mengundang rasa tidak puas hati.

Antara mereka yang menyuarakan rasa tidak puas hati itu termasuk, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan; bekas menteri Azalina Othman Said; veteran Umno, Shahrir Samad; serta anggota Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman.

Status kerjasama PN mula mengundang tanda tanya apabila seawal Mac lagi,  Ahmad Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak, membuat kenyataan senada - Umno hanya akan menyokong kepemimpinan Muhyiddin serta mempertahankan PN sehingga PRU ke-15 sahaja.

Mohamad juga ada membuat kenyataan bahawa sesuatu kerjasama selain daripada Muafakat Nasional dan BN adalah tidak strategik kepada kelangsungan Umno, manakala naib presiden PAS, Mohd Amar Abdullah, selaku rakan Muafakat Nasioal, turut berkata PN bukanlah ikatan kerjasama yang konkrit, sebaliknya hanya bersifat ‘“ad-hoc” untuk menyelamatkan negara

Kelmarin, Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri pula membuat kenyataan agar parti komponen PN agar tidak mengambil mudah pada keberadaan Bersatu di dalam PN, dan berkata Bersatu mempunyai peranan penting untuk menentukan gabungan PN terus utuh sehingga pilihan raya umum akan datang.

Lihat Komen
ADS