Paling Popular
Terkini

Bekas menteri besar Johor, Mohamed Khaled Nordin, menganggap pihak yang membangkitkan isu pelantikannya sebagai pengerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG) sebagai orang sengaja "mencari pasal".

Khaled yang juga naib presiden Umno berkata, pelantikan tersebut sepatutnya bukanlah suatu isu.

Tambahan pula, katanya, jawatan berkenaan tidak bergaji atau kelebihan lain sebaliknya hanya melakukan kerja-kerja sukarela di Pasir Gudang saja.

Justeru, kata Khaled, beliau tidak faham mengapa ada pihak dari bersatu - termasuk bekas menteri besar Johor, Osman Sapian - membangkitkan isu berkenaan.

"Tak adalah (masalah), saja nak cari pasal saja. Saya ingat perasaan tak puas hati itu takkanlah kerana YPG.

"Saya tak mahu komen apa pemikiran dia (Osman), tapi itulah pemikiran dia. Itu saja," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Khaled berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai rasa tidak puas hati beberapa pemimpin Bersatu Johor sehingga Osman membangkitkan isu pelantikan tersebut.

Osman sebelum ini juga menimbulkan isu pelantikan jawatan antara wakil rakyat Bersatu dan Umno di Johor yang didakwa diagihkan secara tidak adil.

Bukan mesti wakil rakyat

Keadaan itu dilihat Bersatu dipinggirkan oleh pemimpin Umno selepas berlaku pertukaran kerajaan - daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Peirkatan Nasional - dan menyerahkan jawatan menteri besar kepada Umno.

Dalam kenyataannya Osman mempertikaikan pelantikan Khaled sebagai pengerusi YPG dan bukannya Adun Permas, Che Zakaria Mohd Salleh, yang yang terletak di bawah kawasan parlimen Pasir Gudang.

Mengulas lanjut, Khaled berkata beliau enggan berbalah dalam isu tersebut dan membiarkan saja Osman jika mahu berkata apa-apa.

Kata Khaled, sebelum ini pun beliau berundur daripada jawatan pengerusi YPG kerana tidak boleh menerima pentadbiran kerajaan PH di Johor.

"Dulu masa saya pengerusi, saya letak jawatan sebab saya tak baik dengan kerajaan negeri (PH), sekarang saya dah baik dengan kerajaan negeri apa salahnya saya (pegang semula jawatan itu)?

"Bukannya (ada) tulis dekat situ (jawatan pengerusi YPG) mesti wakil rakyat," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS