story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pati ditangkap semalam diuji negatif Covid-19 - Menteri
Diterbitkan:  May 2, 2020 4:01 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Semua 586 pendatang tanpa izin yang ditahan dalam serbuan imigresen semalam diuji negatif Covid-19 ketika mereka di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), maklum Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

"Kita telahpun membuat saringan swab tests kepada mereka. Mereka telah didapati negatif. Dan PKPD ini akan berakhir. Bila berakhir mereka dibebaskan. Status mereka tidak berubah. Walaupun mereka berada dalam PKPD, status mereka tetap lagi (pendatang tanpa izin) Pati...

"Undang-undang yang melibatkan Pati tidak ada perbezaan sama ada sebelum PKPD, sebelum PKP atau selepas PKP. Mereka tetap salah kerana melanggar undang-undang negara, yang menceroboh masuk ke dalam negara kita. Status mereka sama," kata beliau pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Oleh yang demikian, Ismail berkata pengkritik operasi menangkap Pati di kawasan PKPD perlu berterima kasih kepada kerajaan kerana ujian saringan yang dibuat menghalang penularan Covid-19.

Beliau juga berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan Pati yang ditahan termasuk dari segi makanan dan kesihatan sepanjang tempoh mereka berada dalam kawasan PKPD dan depoh tahanan.

"Sepatutnya mereka yang tidak berpuas hati kepada kerajaan ini berterima-kasih kepada kerajaan kerana mereka di swab test dan diisytiharkan bersih. Bayangkan kalau mereka balik ke tempat tinggal mereka, ke negara mereka... tentu mereka akan bawa Covid-19 ini untuk disebarkan kepada keluarga mereka.

"Bertindak zalim? Tidak betul. Kerana sewaktu mereka berada di PKPD, mereka mendapat makanan yang sama seperti rakyat kita, walaupun NGO yang memberi makanan kepada meraka...

"Apabila keluar dan dihantar ke depot imigresen, mereka tetap akan diberi makanan dan sebagainya. Jadi tak timbul isu kita bertindak zalim kepada Pati ini kerana kita telahpun menjaga mereka dengan baik sewaktu berada di PKPD dan Insyaallah sewaktu berada di depot pun akan dilayan dengan baik.

"Tapi status mereka tetap sama, mereka adalah Pati," tegasnya yang juga menteri pertahanan.

Seramai 3,352 individu telah diperiksa dan 586 telah ditahan atas kesalahan imigresen dan telah dihantar ke depoh tahanan untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, operasi imigresen untuk menahan Pati mendapat maklum balas NGO Tenaganita dan Refuge for Refugees yang berkata tindakan sedemikian akan memberi dampak negatif menghalang penularan Covid-19 apabila migran yang takut ditangkap akan lari menyembunyikan diri.

Semalam imigresen menyerbu kawasan sekitar Jalan Masjid India, termasuklah di Malayan Mansion dan Menara City One

[Baca berita penuh]

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS