Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
S'wak tak akan buka semula sektor ekonomi Isnin ini
Diterbitkan:  May 2, 2020 5:49 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Sarawak memutuskan tidak mengikut langkah kerajaan persekutuan untuk membuka semula ekonomi pada Isnin ini, sebaliknya kekal dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Amar Douglas Uggah Embas, berkata kerajaan Sarawak perlu mengambil kira keadaan negeri dahulu sebelum membuat keputusan.

Uggah berkata, JPBM pada masa ini berpandangan standard pematuhan bagi pembukaan semula kegiatan ekonomi sebagai tidak kondusif di negeri itu.

"Kerajaan Sarawak menghormati sepenuhnya pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkenaan keperluan membuka semula ekonomi, justeru melonggarkan PKP bermula Isnin, 4 Mei ini.

"Bagaimanapun kerajaan negeri memutuskan untuk meneliti kesan membuka semula kegiatan ekonomi, sektor mana yang boleh dibuka, waktu dan setakat mana mereka dibenarkan (untuk beroperasi)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, JPBN akan meneliti perubahan peraturan yang digariskan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ... Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342), terlebih dulu.

Sementara itu, Uggah berkata perniagaan yang telah mendapat kebenaran operasi semula daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri masih perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri sebelum berbuat demikian.

PKP fasa keempat dijangka berakhir pada 12 Mei tetapi kerajaan setuju untuk membenarkan kebanyakan perniagaan dibuka semula bermula Isnin ini.

semalam, Muhyiddin berkata kerajaan kerugian sekitar RM2.4 bilion sehari sejak penguatkuasaan PKP ekoran penutupan sektor ekonomi.

Bagaimanapun sejumlah pihak berkata keputusan itu terlalu awal dan perniagaan tiada masa yang cukup untuk membuat persediaan bagi memenuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.


Senarai penuh kegiatan yang tidak dibenarkan ketika PKPB

Garis panduan MKN untuk pembukaan semula perniagaan

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS