Malaysiakini
BERITA

PKPB: Tiada lagi had masa keluar

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Mei 2020, 8:07 pagi

Tiada lagi larangan perjalanan selepas pukul 10 malam atau pergerakan rentas daerah di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kata Menteri Kanan (kluster pertahanan) Ismail Sabri Yaakob.

"Dari segi pergerakan sudah pun dibebaskan (untuk perjalanan) antara daerah (dan) tiada had dari segi jangka masa untuk keluar.

"Dalam peraturan baru, tiada (had seperti sebelum ini)," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berkenaan perkara itu selepas PKPB mula berkuat kuasa semalam.

Berhubung perjalanan rentas negeri pula, beliau berkata larangan masih terpakai tetapi perjalanan boleh dibuat antara 7 hingga 10 Mei ini dengan permohonan dibuat kepada pihak berkuasa.

Berkenaan perjalanan rentas negeri menggunakan pengangkutan awam, Ismail berkata polis masih meneliti perkara itu.

"Polis sedang buat kajian, misalnya berkenaan berapa jumlah (bas) yang diperlukan.

"Ini kerana pergerakan antara negeri masih tak dibenarkan, oleh itu kenderaan awam seperti bas ekspres belum (beroperasi)," katanya yang juga menteri pertahanan.

Menurut Seksyen 4(1) warta persekutuan 3 Mei yang dikeluarkan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, orang ramai boleh melakukan perjalanan dalam "kawasan tempatan jangkitan" kecuali di kawasan PKP diperketatkan, melainkan mendapat kebenaran untuk berbuat demikian.

Pewartaan itu menandakan permulaan pelonggaran PKP bagi pembukaan semula ekonomi.

Ismail berkata polis kini akan mula memberi tumpuan kepada penguatkuasaan syarat dan peraturan yang ditetapkan kepada industri yang kembali beroperasi.

Peraturan itu antara lain pelaksanaan pembersihan di premis, ujian saringan terhadap pekerja asing dan pengamalan penjarakan sosial.

Katanya lagi, penguatkuasaan akan bermula dengan amaran sebelum disusuli dengan tindakan lebih tegas.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.