Naib Presiden PAS, Datuk Seri Husam Musa mendakwa beliau menerima maklumat mengatakan Umno merancang untuk memecat bekas Presidennya, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lama lagi.

"Maklumat yang saya terima itu mengatakan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selaku Presiden Umno, akan mengemukakan usul memecat untuk Dr Mahathir dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu Isnin ini," katanya.

Ketika dihubungi malaysiakini, Husam mengesahkan yang beliau menyatakan perkara tersebut dalam satu sidang akhbar di Kota Bharu hari ini.

Menurut Husam, jika maklumat yang diterimanya itu betul, ini menunjukkan pimpinan Umno dan kerajaan sekarang tidak bersikap terbuka terhadap kritikan dan teguran.

"Saya mendedahkan maklumat yang saya terima itu kerana tidak mahu Dr Mahathir dipecat dari Umno. Cuba bayangkan kalau orang seperti Dr Mahathir dikenakan tindakan kerana mengkritik kerajaan secara berasas, bagaimana nasib rakyat biasa nanti jika melakukan kritikan yang sama," katanya.

Menurut Husam, beliau mengambil berat perkembangan yang berlaku dalam Umno itu kerana tidak mahu melihat budaya 'berani kerana benar' yang dipamerkan oleh Dr Mahathir 'dimatikan' oleh kerajaan.

Mesyuarat MT Isnin ini

Hubungan antara Dr Mahathir dengan Abdullah dan pemimpin Umno tegang sejak kebelakangan ini apabila bekas Perdana Menteri itu lantang mengkritik dasar-dasar kerajaan dan menuntut jawapan kerajaan terhadap beberapa isu yang dibangkitkannya.

Semalam Abdullah mengumumkan, kementerian berkaitan akan menjawab semua isu dan persoalan yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir, antaranya mengenai Permit Import (AP), penjualan MV Agusta dan pembatalan cadangan pembinaan jambatan indah.

Sementara itu Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang dihubungi petang ini, berkata mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan diadakan Isnin ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak tahu agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu.

"Saya tak tahu menahu mengenainya. Nampaknya, orang PAS lebih pandai dari Tuhan," ujarnya.