Kerajaan digesa supaya mengkaji semula kenaikan harga minyak kerana hujah yang dikemukakan semasa menaikkan harga bahan api itu dua bulan lalu, sudah tidak boleh digunapakai lagi, berikutan pengumuman Petronas mengenai penemuan dua telaga baru yang kaya dengan minyak dan gas asli.

Syarikat minyak nasional itu mengumumkan, telaga baru Kikeh mampu mengeluarkan 120,000 tong minyak mentah sehari mulai tahun depan dan telaga Gumusut akan mengeluarkan 150,000 tong minyak mentah sehari mulai 2011.

Ketika membuat gesaan itu, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Husam Musa berkata, sebelum ini kerajaan mengatakan harga bahan api itu perlu dinaikkan kerana kerajaan tidak boleh meningkatkan pengeluaran minyak mentah negara semata-mata kerana mahu mengsubsidi harga bahan petroleum dalam negara.

Kerajaan berhujah, jika pengeluaran minyak mentah negara ditambah daripada 720,000 tong sehari sekarang, jangka hayat negara sebagai negara pengeksport minyak akan bertahan selama 19 tahun sahaja lagi.

Husam berkata, alasan itu sudah tidak boleh digunapakai lagi berikutan menemui dua telaga baru yang kaya dengan minyak dan gas asli.

Rezab bertambah

"Dengan tambahan 270,000 tong itu bermakna pengeluaran minyak mentah negara akan meningkat kepada satu juta tong sehari pada tahun 2011. Ia juga bermakna rezab bahan petroleum negara semakin besar.

"Oleh itu hujah yang dikemukan tempoh hari sudah tidak boleh dipakai lagi kerana penemuan telaga baru ini bererti jangka hayat negara sebagai negara pengeksport minyak mentah juga bertambah panjang," katanya kepada malaysiakini.

Sehubungan itu katanya, PAS mendesak kerajaan menurunkan balik harga minyak sebanyak 30 sen seliter.

Husam berkata, beliau akan segera menulis surat kepada Perdana Menteri berhubung perkara ini kerana bebanan kenaikan harga minyak semakin menghimpit rakyat.