Paling Popular
Terkini

ULASAN | Di Sheraton Hotel pada awal pagi 10 Mei 2018, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dikenali dengan budi pekertinya yang lemah lembut, menarik saya dan Lim Kit Siang ke tepi untuk meminta DAP menyokong calon Bersatu bagi jawatan menteri besar Johor. 

Beliau memerlukan bantuan supaya sumbangan beliau dalam menukar undi negeri tersebut kepada Pakatan Harapan diperakui.

Walaupun DAP telah memenangi bilangan kerusi yang terbesar di Dewan Undangan Negeri Johor pada PRU14, iaitu 14 kerusi, berbanding dengan Amanah (9), Bersatu (8) dan PKR (5), namun DAP tidak menuntut jawatan menteri besar.

Kit Siang terbuka untuk berbincang. Selepas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berbincang dengan Presiden Amanah Mohamad Sabu, DAP bersetuju untuk menyokong calon Muhyiddin bagi jawatan menteri besar.

Pada 11 Mei 2018, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menitahkan sebuah kapal terbang untuk menjemput Muhyiddin dari Kuala Lumpur untuk menghadap baginda. 

Saya turut serta mengikuti beliau. Itu merupakan kali pertama saya menaiki jet peribadi.

Tiga bulan sebelum itu, pada 8 Februari 2018, saya dan Muhyiddin membuat perjalanan bersama menaiki penerbangan tambang rendah Malindo sejurus selepas mesyuarat Pakatan Harapan Johor.

Beliau memberitahu saya bahawa, ketika beliau masih timbalan perdana menteri, satu pesawat kerajaan khas telah ditugaskan untuk perjalanan beliau.

Sebagai salah satu pemimpin pembangkang yang tidak memiliki apa-apa hak istimewa, Muhyiddin berasa senang hati melihat penghargaan rakyat terhadap perjuangan kami.

Ketika beliau masih menganggotai Barisan Nasional, beliau tidak pernah mengalami situasi di mana orang ramai menawar diri untuk membayar makanan beliau di kedai kopi ataupun warung sebagai tanda sokongan mereka. Semangat rakyat ketika itu cukup memberangsangkan.

Hidup sukar antara 2015 - 2018

Ketika penerbangan pada Mei 2018 itu, seorang pegawai Muhyiddin telah memberitahu saya bahawa itulah kali pertama mereka menjejak kaki semula dalam jet peribadi semenjak bos mereka dipecat daripada jawatan TPM pada Julai 2015.

Mereka berasa bangga dengan PRU14 kerana kami telah mencipta sejarah ketika itu dengan mengambil tindakan yang betul demi negara, walaupun, secara peribadi, Muhyiddin mengalami kehidupan yang sukar antara 2015 dan 2018.

Pada hari seterusnya, iaitu 12 Mei 2018, Pakatan Harapan telah memilih Muhyiddin sebagai menteri dalam negeri, Mat Sabu sebagai menteri pertahanan, dan Guan Eng sebagai menteri kewangan.

Pada 13 Mei 2018 pula, saya berjumpa dengan Muhyiddin di kediamannya; hanya kami berdua sahaja. Beliau berasa murung ketika itu. Beliau ingin meletakkan semua jawatan pada malam sebelumnya kerana kecewa tidak dilantik menjadi menteri kewangan oleh Dr Mahathir. Beliau telah dipujuk untuk terus kekal dengan jawatannya.

Beliau turut memberitahu saya, pada 1995, ketika beliau merupakan timbalan presiden Umno yang meraih bilangan undi terbesar, dan setelah berkhidmat sebagai menteri besar Johor selama sembilan tahun, beliau berharap untuk memegang portfolio ekonomi kanan di peringkat kerajaan persekutuan.

Akan tetapi, Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri ketika itu hanya melantik beliau sebagai menteri belia dan sukan, suatu jawatan yang paling rendah. 

Kemudian, beliau diberitahu oleh Anwar Ibrahim untuk bersabar dan menunggu sehingga 1998, memberi bayangan bahawa Muhyiddin akan menjadi pilihannya untuk timbalan perdana menteri.

Dalam renungan beliau pada pagi yang tenang itu, Muhyiddin mengajukan soalan kepada saya, setelah 20 tahun lebih, selepas beliau berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri selama enam tahun (2009-2015), adakah wajar beliau menjadi timbalan kepada Anwar sekiranya berlakunya peralihan kuasa daripada Dr Mahathir ke Anwar? Hanya kesepian menyahut persoalan itu.

Muhyiddin telah dikesan menghidap penyakit kanser pada Julai 2018. Saya menziarahi beliau di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Kali pertama saya pergi seorang, kali kedua saya mengikuti Guan Eng. Saya menganggap Muhyiddin sebagai sahabat berusia dan sangat bimbang dengan kesihatan beliau.

Ketika beliau sedang beransur pulih, dalam kebanyakan pertemuan kami, beliau telah mengadu kepada saya tentang keinginannya untuk meletak jawatan. Penyakit tersebut telah mengubah perspektif beliau terhadap kehidupan.

Kebuntuan di Johor

Pada 24 April 2019, setelah Muhyiddin dan Dr Mahathir bercanggah berkenaan pemilihan Mazlan Bujang sebagai ketua Bersatu di Johor, saya berjumpa dengan Muhyiddin di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri.

Sekali lagi, beliau menzahirkan keinginannya untuk meletak jawatan kerana Dr Mahathir tidak menerima pandangannya walaupun Johor merupakan negeri beliau. Muhyiddin merupakan pengerusi Majlis Pakatan Harapan Johor.

Muhyiddin berasa kecewa tetapi tidak menghalang pelantikan Mazlan. Beliau beritahu kepada saya, menurut perlembagaan Bersatu, selaku presiden beliau mesti berunding dengan dan menerima keputusan pengerusi, iaitu Dr Mahathir.

Ketika mesyuarat-mesyuarat kami pada bulan-bulan seterusnya, beliau berulang kali menyatakan kekecewaannya terhadap pemilihan Mazlan Bujang oleh pengerusi Bersatu.

Pada 2 Syawal (6 Jun 2019), Muhyiddin telah memberitahu saya, beliau sudahpun hampir pulih daripada penyakitnya. Doktor beliau turut menyatakan perkara yang sama ketika majlis rumah terbuka anak lelaki Muhyiddin. Saya cukup lega menerima berita itu.

Imbas ke hadapan, pada bulan Oktober 2019. Percubaan untuk merampas kuasa oleh trio Azmin Ali, Hishammuddin Hussein, dan Hamzah Zainuddin telah menyemarakkan lagi api perkauman bagi pihak Melayu dan bukan Melayu. 

 Azmin, Hishammuddin bersama rakan MP di parlimen, Mac 2019.

Usaha tersebut bertujuan mewujudkan satu kerajaan gabungan perpaduan Melayu baru tanpa melibatkan DAP dan Amanah.

Muhyiddin sangat bimbang akan “perbezaan pandangan antara kita kerana perbezaan ideologi dan kepercayaan kian jelas sekarang." Daya maju hubungan gabungan Bersatu-DAP sedang dipersoalkan dengan serius dan terdapat banyak tekanan daripada pihak yang agresif dalam Bersatu agar beliau bertindak menentang DAP.

Beliau menganjurkan makan malam kecil-kecilan antara pemimpin tertinggi Bersatu dan DAP pada 29 Oktober 2019 bagi mencari jalan menyelamatkan gabungan parti. Kedua-dua parti bersetuju bahawa naratif melampau Melayu dan bukan Melayu menyebabkan kita menderita di jalan tengah. Kita harus lakukan lebih banyak lagi untuk menyelamatkan gabungan ini.

Mesyuarat tersebut berjaya mengatasi cubaan rampasan kuasa pada Oktober oleh trio Azmin, Hishamuddin dan Hamzah yang menggunakan DAP sebagai momokan. Tetapi kejayaan ini hanyalah untuk sementara.

Imej Pakatan Harapan tidak ditambah baik, terutama sekali apabila dimanipulasi pihak lawan dengan isu perkauman.

Pada malam 16 November 2019, saya berada di bilik gerakan bersama Muhyiddin dan beberapa orang dalamannya untuk menyaksikan siaran langsung keputusan Pilihan Raya Kecil Tanjong Piai. Muhyiddin yang kecewa mengatakan “ini lebih buruk daripada tsunami.”

Majlis Presiden Pakatan Harapan khas diadakan pada 23 November 2019 dengan satu agenda untuk membincangkan pembentangan oleh Muhyiddin sebagai pengerusi Jawatankuasa Kempen Pilihanraya PH.

Beliau menggariskan beberapa cabaran politik yang berikut:

  • Isu sentimen perkauman memberi kesan negatif terhadap PH.
  • Orang Melayu menganggap PH dikuasai DAP.
  • Orang Cina mengganggap PH dikuasai Bersatu dan Dr Mahathir.
  • Isu peralihan kuasa antara PM7 dan PM8 menyebabkan rakyat beranggapan kerajaan PH tidak stabil.
  • Kabinet PH dilihat tidak cekap.

Cadangan beliau buat Pakatan Harapan:

  • Tangani isu kaum dan agama secara bijaksana dengan mengambil sikap yang lebih moderat dan berhemah.
  • Kikis imej anti-Melayu DAP ; anti-Cina Bersatu.
  • Kuatkuasakan tindakan disiplin terhadap ahli parti yang mengkritik sesama sendiri atau mengkritik pimpinan parti anggota yang lain.
  • Tangani isu peralihan kuasa antara PM7 dan PM8 secara bijaksana.
  • Rombak kabinet supaya kabinet PH dilihat berprestasi tinggi.

Muhyiddin mencadangkan agar PH berusaha untuk mencapai tahap penilaian penerimaan 60 peratus dalam jangka masa setahun.

Selepas mesyuarat khas itu dan parlimen masuk ke sesi rehat, Muhyiddin pun pergi ke luar negara pada akhir tahun bulan Disember dan beberapa hari pada bulan Januari. Dia kembali kelihatan sangat segar dan dalam keadaan sihat.

Pemimpin PH menandatangani ikrar Shah Alam, Januari 2018.

Mohamad Sabu bertemu Muhyiddin pada 22 Januari. Pertemuan mereka membuatkan Mohamad Sabu berasa sangat hairan. Menteri pertahanan ketika itu memberitahu  saya bahawa dia bimbang Muhyiddin mempunyai idea baru yang bertentangan dengan prinsip asas Pakatan Harapan.

Nampaknya Muhyiddin memikirkan suatu bentuk pemerintahan perpaduan Melayu, dan beliau tidak lagi berminat dengan Anwar untuk menjadi perdana menteri berikutnya.

Pada 31 Januari 2020, saya dan Muhyiddin menghadiri Sambutan Tahun Baru Cina di Grisek, kawasan Pagoh. Selepas itu, saya mengunjungi Muhyiddin di rumahnya untuk berbual panjang pada 5 Februari 2020.

Umno, PAS mamah Bersatu hidup-hidup

Seperti biasa, beliau peramah dengan saya. Tetapi, saya dapat mengesan terdapat sesuatu perubahan dalam pandangannya. Bagi beliau, jika tiada perubahan dalam PH, maka Bersatu akan kalah teruk untuk pilihan raya akan datang.

Saya memberi hujah untuk menyanggah pendapat beliau, mengatakan Bersatu akan dimamah hidup-hidup oleh Umno dan PAS dalam gabungan penyatuan Melayu. Malah, rakan terbaik Bersatu ialah DAP kerana pertindihan kawasan adalah minima.

Pada hari itu, saya pulang dengan suatu perasaan bahawa sesuatu yang aneh telah berlaku, sesuatu telah berubah dalam dirinya tetapi saya percaya beliau masih mempertimbangkan pilihannya.

Saya berpandangan bahawa dalam sosok tubuh itu masih wujud Muhyiddin yang terhormat, individu yang selalu melihat gambaran yang lebih besar dan bersedia untuk beralah dengan Dr Mahathir seperti pada tahun 2017.

Saya telah berharap agar Muhyiddin yang berulang kali berfikir untuk berhenti itu tidak tergoda oleh kedudukan duniawi tetapi akan memikirkan legasinya.

Bagaimanapun, beliau hanyalah manusia. Mungkin, godaan tersebut terlalu hebat sehingga beliau tidak dapat menahannya. 

Boleh jadi, kekecewaan beliau terhadap Dr Mahathir, dorongan daripada trio Azmin, Hishammuddin dan Hamzah, dan cita-citanya sendiri untuk menjadi PM akhirnya membuat beliau cenderung ke arah kudeta politik Sheraton pada 23 Februari 2020.

Momok DAP,  bakar api perkauman

Saya sedih apabila sahabat lama saya yang berusia, Tan Sri Muhyiddin memilih jalan ini. Sikap baiknya ketika perlawanan epik menentang Najib sang kleptokrasi telah memberi laluan kepada gambaran perebutan kuasa tanpa keabsahan. Mungkin Dr Jekyll telah bertukar menjadi Mr Hyde.

Terdapat beberapa pemimpin dan penyokong gabungan rapuh Perikatan Nasional (PN) diketuai Muhyiddin sekarang kembali dengan taktik jahat lama mereka dengan memomok DAP dalam usaha mereka membakar kebencian antara kaum.

Saya ingin berpesan kepada sahabat lama saya yang berusia ini, Tan Sri Muhyiddin. Saya ahli DAP. Dalam empat tahun, dari tahun 2016 hingga 2020, setiap kali anda meminta pertolongan daripada DAP, kami tidak pernah mengecewakan anda, kami lakukan semua perkara semana mungkin untuk membantu anda.

Dengan memainkan sandiwara anti-DAP sebagai justifikasi kewujudan gabungan Perikatan Nasional, ini hanyalah menunjukkan hipokrasi.


BACA: Kisah pelik Muhyiddin - Bahagian 1


LIEW CHIN TONG ialah Anggota Jawatankuasa Pusat DAP dan bekas timbalan menteri pertahanan PH.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS