Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Lantikan politik untuk tarik MP Umno masuk Bersatu…’
Diterbitkan:  May 22, 2020 11:49 AM
Dikemaskini: 3:49 AM

Lantikan politik di kalangan pemimpin Umno adalah sebahagian daripada rancangan untuk “membesarkan” Bersatu dengan menarik mereka menyertai Bersatu, kata Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, perkara itu didedahkan oleh kepemimpinan tertinggi Bersatu yang cuba menyakinkan pimpinan parti lain bahawa Bersatu tidak akan terpinggir dalam Perikatan Nasional (PN) kerana mempunyai rancangan tersendiri untuk menjadi dominan.

Rancangan itu adalah dengan memberikan jawatan kepada beberapa ahli parlimen Umno - mereka yang tidak terlalu tegar menyokong Umno dan dekat pula dengan kepemimpinan Bersatu - yang boleh dilamar untuk menyertai Bersatu.

“Kita jangan berikan kepada mereka yang total Umno seperti Ahmad Maslan kerana kita tahu walaupun dia baik orangnya, [...] tapi kita tak boleh beri kepada dia kerana dia total Umno dan (tidak) akan berfikir untuk menyertai Bersatu.

“Tapi kita pilih ahli-ahli parlimen Umno, berikan mereka jawatan supaya sedikit demi sedikit kita tarik mereka masuk Bersatu supaya Bersatu yang jadi parti paling dominan.

“Sebab itu (jawatan) GLC (syarikat berkaitan kerajaan) diberikan kepada beberapa figura politik daripada Umno. Menteri-menteri dipilih yang mungkin agak rapat dengan kepimpinan Bersatu juga.

“Tetapi sampai hari ini, perkara ini tidak berlaku,” katanya dalam siaran bual bicara di laman Facebooknya semalam.

Oleh hal yang demikian, Syed Saddiq berkata, persoalan berkenaan lantikan di kalangan pemimpin Umno itu harus dijawab oleh kepemimpinan tertinggi Bersatu dan Umno supaya rakyat tahu dan boleh membuat penilaian tersendiri.

Bual bicara itu dikendalikan oleh ketua penerangan Pemuda Bersatu Ulya Aqamah Husamudin, dan turut disertai oleh ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT) Bersatu Dr Maszlee Malik.

Syed Saddiq berkata demikian ketika menjawab soalan Ulya serta mengulas lanjut mengenai penjelasan dr Maszlee tentang bagaimana Bersatu akan dipinggirkan dan berdepan fitnah menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Berdasarkan perkiraan Malaysiakini setakat semalam, hanya 13 daripada 39 (33.33 peratus) ahli parlimen Umno yang belum dilantik sama ada sebagai menteri, timbalan menteri, ahli lembaga GLC, atau lantikan politik yang lain.

Ini jauh lebih ramai berbanding ahli parlimen Bersatu yang hanya dua daripada 32 (6.25 peratus) belum menerima lantikan sedemikian, namun perubahan boleh berlaku memandangkan lebih banyak lantikan dijangka dibuat selepas ini.

Sementara itu, Syed Saddiq mempersoalkan apakah wujud perjanjian antara parti PN untuk mengelakkan pertindihan kerusi semasa PRU-15.

Katanya, kepemimpinan tertinggi Bersatu memberi jaminan bahawa Umno dan PAS tidak akan bertanding di kawasan parlimen dan DUN yang disandang oleh wakil Bersatu, tetapi dedah Syed Saddiq, perbualannya dengan pemimpin Umno menggambarkan sebaliknya.

“Saya nak tanya kepada pimpinan Umno dan PAS adakah persetujuan ini telahpun dilakukan, kerana apa yang kita ditaklimatkan telah ada persetujuan.

“Saya tanya ini kerana bila saya berjumpa dengan rakan-rakan saya dalam Umno dan ada pimpinan tertinggi mereka juga, mereka kata mustahil mereka akan lepaskan kerusi Hamzah Zainuddin yang sebelum ini kerusi Umno. Ada 13 ahli parlimen Umno yang menyertai Bersatu.

“Mereka tidak akan melepaskan kerusi Gombak bawah Azmin Ali, kerusi Ampang bawah YB Zuraida (Kamaruddin), dan yang lain. Bukan saja begitu, tak lepaskan kerusi Muar, Simpang Renggam, ini semua kerusi-kerusi strategik Umno-BN sebelum ini.

“Tetapi yang ditaklimatkan kepada kita, telahpun ada persetujuan. Sebab itu saya nak tanya mereka - adakah betul persetujuan ini dilakukan bahawa Umno, PAS tidak akan bertanding di mana-mana kerusi Bersatu, 37 ahli parlimen Bersatu akan bertanding tanpa Umno dan PAS?” soalnya.

Dia menambah bahawa pemimpin-pemimpin parti memaklumkan bahawa PN bukanlah bersifat sementara dan gabungan itu akan berhadapan dalam PRU-15 bersama-sama, tetapi perkembangan semasa menunjukkan parti komponen PN lain hanya melihatnya sebagai entiti sementara.

Malah, katanya, Muafakat Nasional antara Umno dan PAS yang lebih dilihat bersama berbanding PN.

Lihat Komen
ADS