BERITA

‘Tak akan keluar Umno hanya kerana lantikan GLC’

Haspaizi Zain

Diterbitkan

Anggota Majlis Teringgi (MT) Umno Tajuddin Abdul Rahman akan terus setia bersama parti itu meskipun menerima jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Jelasnya, dakwaan bahawa lantikan politik dalam kerajaan untuk menarik pemimpin Umno menyertai Bersatu adalah satu kenyataan terdesak.

"Tak betul, saya salah seorang yang diberi jawatan GLC saya tetap dengan Umno, apa jadi sekali pun saya orang Umno akan pertahankan Umno.

"Kerjasama dengan Bersatu, PAS dan lain-lain dalam Perikatan Nasional (PN) itu kita tetap bekerjasama buat masa ini.

"Tapi masuk keluar dari satu parti ke satu parti, bagi orang Umno saya rasa tidaklah," katanya ketika ditemui selepas melawat depoh Rapid KL di Bandar Sunway, Petaling Jaya, hari ini.

Semalam Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa lantikan politik di kalangan pemimpin Umno adalah sebahagian daripada rancangan untuk “membesarkan” Bersatu dengan menarik mereka menyertai parti itu.

Katanya, perkara itu didedahkan oleh kepemimpinan tertinggi Bersatu yang cuba menyakinkan pimpinan parti lain bahawa Bersatu tidak akan terpinggir dalam PN kerana mempunyai rancangan tersendiri untuk menjadi dominan.

Rancangan itu adalah dengan memberikan jawatan kepada beberapa ahli parlimen Umno - mereka yang tidak terlalu tegar menyokong Umno dan dekat pula dengan kepemimpinan Bersatu - yang boleh dilamar untuk menyertai Bersatu.

“Kita jangan berikan kepada mereka yang total Umno seperti Ahmad Maslan kerana kita tahu walaupun dia baik orangnya, [...] tapi kita tak boleh beri kepada dia kerana dia total Umno dan (tidak) akan berfikir untuk menyertai Bersatu.

“Tapi kita pilih ahli-ahli parlimen Umno, berikan mereka jawatan supaya sedikit demi sedikit kita tarik mereka masuk Bersatu supaya Bersatu yang jadi parti paling dominan," katanya dalam siaran bual bicara di laman Facebooknya semalam.

Mengulas lanjut kenyataan itu, Tajuddin berkata kenyataan Syed Saddiq adalah kenyataan pihak yang terdesak.

"Itu kenyataan orang yang sudah terdesak Syed Saddiq, tak betul itu, saya tak fikir begitu," katanya lagi.

Sementara itu, mengulas isu berasingan Tajuddin yang juga Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan pengangkutan awam yang terkesan akibat Covid-19.

Katanya, beliau bersama barisan kepimpinan Prasarana yang lain akan mencari jalan untuk merancakkan kembali pengangkutan awam selepas ini.

"Kita sekarang memang menghadapi masalah kekurangan penumpang, bukan saja kita tetapi juga pengangkutan awam lain juga juga begitu.

"Jadi, kita di Prasarana saya pengerusi baru bersama pengurusan akan merancang masa depan bagi pasca Covid-19," katanya.

Buat masa ini katanya, pengangkutan awam seperti bas RapidKL hanya membenarkan 20 penumpang dalam satu masa.

Bagaimanapun, pihaknya mempertingkatkan lagi jumlah kekerapan operasi bas itu bagi kemudahan orang ramai.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.