Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Armada lapor Lim pada SPRM dakwaan konflik kepentingan dengan AGC

Pemuda Bersatu (Armada) Selangor dan Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap Lim Guan Eng yang didakwa mempunyai konflik kepentingan dengan Jabatan Peguam Negara (AGC), sewaktu menjadi menteri kewangan.

Ia susulan laporan semalam yang mendakwa Lim meminta AGC membatalkan pembekuan akaun bank seorang taikun hartanah terkemuka.

Bercakap dengan pemberita selepas membuat laporan itu, Ketua Armada Wilayah Persekutuan Zahim Zainal berkata pihaknya menyerahkan beberapa dokumen kepada SPRM.

"Kita digegarkan dengan pembongkaran Lim Guan Eng selaku menteri kewangan mengarahkan Peguam Negara Tommy Thomas untuk membatalkan pembekuan akuan milik bos hartanah yang berkaitan dengan 1MDB.

"Kita nak SPRM siasat sama ada dakwaan ini benar atau tidak. Dakwaan ini berkenaan salah guna kuasa melibatkan Lim dan Thomas," katanya di depan ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata satu laporan polis juga akan dibuat berkenaan perkara itu.

Laporan Free Malaysia Today berkenaan perkara itu semalam berdasarkan komunikasi antara Lim dan Thomas.

Laporan itu mendakwa ia berkaitan akaun bank yang disiasat berhubung transaksi kira-kira RM4 juta dana berkaitan 1MDB.

Bagaimanapun Lim menegaskan sepanjang menjadi menteri kewangan, beliau sering menyerahkan perkara di luar skop tanggungjawabnya kepada pihak yang berkaitan.

“Kes-kes yang tak berada di bawah bidang kuasa saya dirujuk ke pihak berkuasa berkaitan. Pihak berkuasa berkaitanlah yang mempunya kuasa untuk bertindak,” katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS