Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembelaan: Kenapa letak SRC bawah MOF Inc jika Najib nak curi wang?

Langkah membawa keluar SRC International Sdn Bhd daripada 1MDB dan meletakkannya di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) adalah bagi memudahkan pengawasan kerajaan, bukan memudahkan penutupan salah laku seperti didakwa pasukan pendakwaan.

Mengemukakan hujah pembelaan dalam kes rasuah RM42 juta SRC International terhadap bekas perdana menteri Najib Razak hari ini, peguam Farhan Read berkata langkah itu tidak menunjukkan niat seorang yang mahu mencuri dana awam.

“Kalau dia (Najib) mahu menyeleweng dana daripada syarikat berkaitan kerajaan, langkah terbaik bukanlah dengan meletakkan lebih banyak kawalan (kerajaan)," katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Farhan berkata ia menimbulkan persoalan bagaimana langkah “meletakkan kawalan tambahan (ke atas SRC International) dapat memberikan kelebihan terhadap rancangan ‘jahat’ Najib”.

Farhan Read

SRC International dipindahkan ke MOF Inc pada Februari 2012 selepas memperoleh pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Sebulan selepas itu, ia menerima RM2 bilion pinjaman lagi daripada KWAP.

SRC kemudian “membuat pelaburan” di luar negara, termasuk di Switzerland, dan jumlah itu kemudiannya tidak dapat dijejaki.

Najib dikatakan mengawal MOF Inc atas kedudukannya sebagai menteri kewangan pada waktu itu.

Najib juga merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dan memorandum dan artikel persatuan syarikat itu dikatakan telah dipinda bagi memberinya kuasa dalam keputusan syarikat.

Farhan juga merujuk keterangan saksi bahawa dengan meletakkan SRC di bawah MOF Inc, ia menjadikan syarikat itu bertanggungjawab secara langsung kepada kerajaan.

Pada hari kedua penghujahan lisan pembelaan hari ini di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Farhan berhujah bawah tidak ada satu minit pun daripada Najib yang memaksa KWAP untuk meluluskan pinjaman berbilion ringgit, walaupun dia dikatakan "bos sebenar" syarikat itu.

Farhan merujuk keterangan saksi pendakwaan ke-38, bekas CEO KWAP Azian Mohd Noh, bahawa Najib merupakan “bos sebenar" dan mempunyai pengaruh dalam kelulusan terhadap pinjaman awal KWAP sebanyak RM3.95 bilion pada 2011. Jumlah itu kemudiannya dikurangkan menjadi RM2 bilion.

Farhan berkata, ini kerana Azian dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (saksi pendakwaan ke-45) tidak pernah menyatakan bahawa mereka berasa terpaksa untuk meluluskan pinjaman itu.

Peguam itu kemudian berhujah bahawa Wan Abdul Aziz mempunyai kuasa untuk berkata “tidak” kepada Najib memandangkan realiti semak dan imbang yang wujud antara MOF dan Perbendaharaan, dan bahawa Wan Abdul Aziz hanyalah dikira pekerja bawahan jika diambil kira antaranya struktur formal organisasi.

Pasukan pembelaan menutup kesnya pada 1 Mac setelah memanggil 19 saksi semasa peringkat pembelaan yang berjalan selama 33 hari, sejak 3 Disember 2019. Nazlan sebelum ini menetapkan tiga hari - 1 hingga 3 Jun - untuk mendengar hujahan lisan oleh pembelaan dan pendakwaan.

[baca berita asal]


Lihat Komen
ADS