Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Saya tiada masalah dengan Anwar, dia saya tak tahu

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, namun tidak tahu apakah pemimpin berkenaan juga merasakan perkara yang sama.

Mahathir juga berkata beliau tidak mahu menjadi perdana menteri sekali lagi, tetapi akan memegang jawatan itu jika diminta untuk sementara waktu.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Anwar, Mahathir berkata: "Setahu saya, saya tidak mempunyai masalah dengan Anwar."

"Mungkin dia mempunyai masalah dengan saya, yang saya tidak tahu, anda harus bertanya kepadanya," tambahnya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam Anwar dan PKR sekali lagi tidak hadir dalam mesyuarat yang berlangsung antara Mahathir, parti Warisan dan Pakatan Harapan (PH).

PH, Mahathir dan Warisan mengakui sedang berusaha mengambil alih semula kerajaan dari Perikatan Nasional (PN), namun persoalan mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri antara Mahathir dan Anwar terus menjadi polemik.

Ketika ditanya apakah beliau akan menjadi calon perdana menteri sekali lagi, Mahathir berkata beliau tidak menawarkan diri bagi jawatan itu.

"Saya tidak menawarkan diri, tetapi saya melihat perkara-perkara ini sebagai tugas. Saya tidak berminat dengan kepuasan sendiri, tetapi jika saya dapat memberi perkhidmatan dan orang berpendapat saya boleh memberi perkhidmatan, saya ada.

"Tetapi tidak lama. Saya sudah berusia 94 tahun, berapa bulan lagi?" katanya.

Tak harap ramai ikut jejak Sri Gading

Ditanya sekiranya beliau dan PH memiliki angka yang mencukupi untuk menumbangkan kerajaan PN, Mahathir dilihat kurang yakin.

"Jumlahnya muncul dan hilang. 

"Kita tidak tahu.

"Tetapi yang kita tahu adalah ketika Muhyiddin mengangkat sumpah, dia tidak memiliki majoriti kerana kita memiliki majoriti.

"Kita ada orang yang tandatangan akuan yang mereka bersama kita, kita memiliki 114 (MP) dan pada masa itu Muhyiddin tidak cukup untuk memiliki majoriti," katanya.

Susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Sri Gading, Shahruddin Salleh sebagai timbalan menteri kerja raya semalam, Mahathir berkata beliau tidak mengharapkan lebih ramai anggota parlimen akan mengikut jejak langkah berkenaan.

"Saya tidak fikir akan ada ramai lagi kerana mereka semua memikirkan diri mereka sendiri.

"Mereka bersamanya (Muhyiddin) sebagai menteri dan mereka mendapat gaji yang lumayan, mereka tidak akan melepaskan gaji lumayan mereka. Kerana itu, banyak yang tidak melompat,” katanya ketika ditanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Md Yusof hari ini menafikan  bahawa beliau akan meletakkan jawatan.


Lihat Komen
ADS