Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Sri Ram enggan ulas dakwaan pujuk Apandi tangkap Najib
Diterbitkan:  Jun 11, 2020 12:13 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram enggan mengulas mengenai dakwaan bekas ketua peguam negara Apandi Ali bahawa beliau pernah memujuk Apandi untuk menangkap Najib Razak, yang ketika itu masih perdana menteri.

Apandi mendakwa kejadian itu berlaku pada Januari 2018, empat bulan sebelum PH mengalahkan BN pada PRU ke-14.

Portal Free Malaysia Today melaporkan bahawa Sri Ram tidak mempunyai sebarang komen berhubung dakwaan tersebut.

Dalam satu hantaran Facebook semalam, Apandi mendakwa Sri Ram pergi ke rumahnya pada masa itu, dikatakan atas arahan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dengan alasan untuk mendapatkan pertolongannya mengenai perkara tertentu.

Apandi mendakwa Sri Ram berkata Mahathir meminta beliau menangkap Najib di pejabat keesokannya dan aturan telah dibuat agar polis melakukan apa yang perlu.

Apandi selanjutnya mendakwa Sri Ram memberitahu bahawa beliau akan menjadi wira di mata rakyat dan peguam negara pertama yang menangkap perdana menteri.

Menurut Apandi, beliau mempunyai bukti rakaman CCTV dan saksi mata mengenai kunjungan tersebut.

Selepas kerajaan BN tumbang pada PRU14, Najib disiasat dan kemudiannya dihadapkan dengan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion.

Ahli Parlimen Pekan itu antara lainnya juga didakwa dengan tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram sebanyak RM42 juta dana daripada SRC International, antara tuduhan lain.

Perbicaraan terhadap Najib kerana didakwa menyelewengkan dana daripada SRC International Sdn Bhd akan berakhir bulan depan.

Lihat Komen
ADS