Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas menteri pelancongan, seni dan budaya, Mohamaddin Ketapi, mengesahkan beliau pernah dipujuk oleh Anifah Aman supaya meninggalkan Warisan.

Pun begitu, beliau berkata, permintaan dan pujukan daripada seseorang agar meninggalkan parti adalah "perkara biasa".

"Melompat parti tidak sepatutnya boleh berlaku tetapi meminta seseorang melompat adalah perkara biasa. Lebih-labih lagi saya dengan Anifah saling mengenali sejak sama-sama bersekolah di England," katanya kepada Malaysiakini melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Mohamaddin juga menjelaskan selain bekas menteri luar itu ada rakan-rakan beliau yang lain menghubunginya untuk mengajak bertukar parti.

Bagaimanapun, kata ahli parlimen Lahad Datu itu, beliau menolaknya dengan baik.

"Saya masih dengan pendirian saya dan kekal bersama Warisan," katanya.

Terdahulu, Mohamadddin dihubungi Malaysiakini untuk mengesahkan kenyataan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal yang mendakwa Anifah banyak menghubungi wakil rakyat parti berkenaan supaya melompat parti.

Kalau nak, buat saja

Anifah ialah anggota parlimen Kimanis daripada Umno yang meninggalkan parti berkenaan - untuk menjadi ahli parlimen bebas - kira-kira empat bulan selepas pilihan raya umum 2018 yang menyaksikan BN kalah di peringkat pusat.

Untuk rekod Anifah ialah adik kepada bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman, yang dilepas dan dibebaskan daripada 46 tuduhan rasuah serta pengubahan wang haram oleh mahkamah baru-baru ini.

Mohd Shafie berkata, beliau dimaklumkan oleh Mohamaddin, Anifah menghubunginya sebayak tiga kali untuk memujuk agar meninggalkan Warisan.

Anifah Aman

"Saya tanya (Mohamaddin) you sure (awak pasti)? Mohamaddin kata saya tahu suara dia, saya tahu nombor telefon dia," kata Shafie petang tadi.

Mohamaddin juga setiap seorang mempunyai pendirian masing-masing.

"Terpulang pada diri sendiri nak terima atau tidak. Pendirian kita akan menentukan siapa kita yang sebenarnya.

"Kalau saya nak tukar parti, saya buat sahaja tanpa dihubungi (sesiapa) dan saya bertindak apa yang baik untuk rakyat dan negara," katanya.

Menurut beliau, walaupun dihubungi Anifah sebanyak tiga kali beliau tetap enggan melompat ke lain parti.

"Semuanya itu bergantung kepada pendirian masing-masing," tambahnya lagi.

Sebelum ini, Umno Sabah menafikan tuduhan Mohd Shafie bahawa parti itu dan Musa sedang "membeli wakil rakyat" bagi menjatuhkan kerajaan Warisan di negeri itu.

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata kenyataan yang dikeluarkan pemimpin parti Warisan itu adalah bersifat provokasi melampau serta hasutan.

Lihat Komen
ADS