Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jawatan PM ke-9 juga bukan hak mutlak Dr M'
Diterbitkan:  Jun 12, 2020 12:55 PM
Dikemaskini: 1:01 PM

Sejumlah pemimpin PKR membidas kenyataan Anggota Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik yang menyatakan usaha pembangkang bagi mengambil semula kerajaan persekutuan tidak boleh dibuat dengan keyakinan bahawa jawatan perdana menteri adalah hak mutlak Anwar Ibrahim.

Menurut mereka, jawatan itu juga bukan hak mutlak Dr Mahathir Mohamad.

"Setuju dengan Maszlee. (Jawatan itu) juga bukan hak mutlak Tun Mahathir," kata Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad di Twitter.

Menyuarakan perkara sama, Setiausaha Pemuda PKR (AMK) Ahmad Syukri Ab Razak berkata Anwar tidak akan berdiri sebagai calon tanpa pihak yang mencalonkannya

"Saya setuju bahawa ia bukan hak mutlak sesiapa. Tetapi apakah Maszlee tidak sedar bahawa beliau seolah-olah sedang memutlakkan jawatan itu hanya kepada Tun Mahathir?

"Dalam hal ini, PH dengan komposisi 91 Ahli Parlimen sebulat suara menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri. Soalnya sekarang, pihak manakah pula yang menamakan Tun Mahathir sebagai calon perdana menteri?" soalnya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Syukri menyarankan agar Maszlee turut sama meyakinkan Mahathir untuk memberi sokongan penuh kepada Anwar.

Katanya, pengiraan mudah menunjukkan PH mempunyai sokongan 91 anggota Parlimen manakala Mahathir hanya memiliki lima anggota Parlimen, termasuk dirinya.

"Lalu saya setuju dengan kenyataan Maszlee yang menyifatkan Mahathir ialah pemilik galah sejengkal yang diperlukan untuk PH mengambil semula tampuk pemerintahan negara. Namun agak aneh apabila Maszlee mencadangkan pemilik galah sejengkal ini yang perlu diangkat mengetuai Kerajaan," katanya lagi.

Syukri 

Hari ini, Maszlee dalam kenyataan berkata bahawa jawatan perdana menteri bukan hak mutlak Anwar.

Malah menurutnya, tanpa Mahathir peluang PH untuk mengambil semula kerajaan adalah sangat tipis bahkan mustahil.

Dalam pada itu, Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Bin Rizal Mubarak membangkitkan kejatuhan kerajaan PH yang antara lain disebabkan keluarnya Bersatu - parti Maszlee sendiri - daripda gabungan itu.

"Rakyat tidak lupa bagaimana negara kita berada di dalam kebuntuan demokrasi pada hari ini adalah kerana pengkhianatan ahli Bersatu.

"Maszlee harus mengikut perubahan masa, dan keadaan di sekelilingnya telah berubah kerana kini Anwar adalah simbol harapan negara selaku ketua pembangkang," katanya dalam kenyataan.

Lihat Komen
ADS