Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Yeoh akan beri kerjasama penuh siasatan kenyataan kahwin bawah umur
Diterbitkan:  Jun 18, 2020 2:44 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan polis berhubung dua kenyataan mengenai perkahwinan bawah umur.

Beliau merujuk satu poster yang memaparkan kenyataan yang dikaitkan dengannya itu yang sebelum ini telah dinafikannya sebagai palsu.

"Semalam, Bukit Aman telah mengeluarkan kenyataan yang memaklumkan bahawa saya akan dipanggil untuk membantu siasatan di bawah Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kenyataan dalam poster tersebut bukan kenyataan saya dan adalah palsu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed semalam, kenyataan itu disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Yeoh berkata beliau turut disiasat berhubung ciapannya pada 9 Mac mengenai status Pelan Strategik Kebangsaan Menangani Perkahwinan Bawah Umur di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, di mana beliau merupakan bekas timbalan menteri.

"Saya sedia memberi kerjasama penuh kepada polis berkenaan perkara ini juga.

"Saya akan hadir di Bukit Aman pada 23 Jun bagi membantu polis dalam siasatan dalam perkara-perkara ini," katanya lagi.

Sementara itu, Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menggesa polis mengenal pasti pihak di belakang poster tersebut terlebih dahulu.

Katanya, perkara utama dalam kesalahan mengikut Akta Hasutan adalah individu yang disiasat perlu dibuktikan membuat kenyataan tersebut.

"Dalam hal ini, wajar untuk mengambil maklum bahawa seawal 11 Mac Yeoh telah menafikan hantaran Facebook yang dikaitkan dengannya," katanya.

Maka, katanya lagi, siasatan terhadap Yeoh sahaja tidak mengambil kira kemungkinan bahawa kenyataan itu dibuat pihak ketiga atas tujuan mencemarkan imejnya.

Lihat Komen
ADS