Bekas exco Perak Abdul Aziz Bari mendakwa menteri besar Ahmad Faizal Azumu pernah "memanipulasi" mesyuarat Exco untuk kelulusan sesuatu perkara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab kenyataan Adun Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berhubung dakwaan pemberian kontrak tanpa melalui tender terbuka kepada syarikat swasta Mainiza Teknitek Recowaste Sdn Bhd (MTR), dalam satu usaha sama pengurusan sisa pepejal dengan Majuperak Holdings Berhad (MHB).

MHB ialah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP)

Semalam, Hasnul berkata Aziz turut terlibat dalam mesyuarat pada 2019 yang meluluskan MTR bagi melakukan ketekunan wajar untuk tujuan penswastaan sisa pepejal.

Dalam kenyataan hari ini, Aziz yang juga adun Tebing Tinggi mengakui terlibat dalam mesyuarat atas kapasitinya sebagai exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.

"Bagaimanapun Hasnul tidak menyatakan dengan jelas mesyuarat yang mana yang saya terlibat secara aktif dan positif dalam menyokong keputusan yang sekarang kelihatan sebagai suatu skandal itu.

"Saya suka menjelaskan bahawa dalam beberapa perkara beliau (Faizal) memanipulasikan kedudukan anggota exco, termasuk mendakwa sesi taklimat sebagai pengesahan dan penerimaan sedangkan tidak ada perbincangan atau kata putus dicapai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mendakwa keputusan untuk melantik dan menamakan entiti tertentu tidak pernah dilakukan secara kolektif oleh exco.

"Maka saya ingin mengingatkan Faizal agar tidak mengheret autoriti umum Exco apabila beliau tersepit," katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi Faizal bagi mendapatkan kenyataannya berhubung perkara ini.

Hasnul juga berkata mesyuarat pada 2019 telah bersetuju secara dasar untuk melantik MTR dalam usaha sama tersebut.

Untuk rekod, pada 15 Jun, Majuperak Holdings Berhad (MHB), yang merupakan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa ia mengadakan usaha sama dengan syarikat swasta MTR.

Notis itu dikeluarkan setelah MTR memberitahu MHB bahawa kerajaan negeri telah bersetuju untuk melantik kedua-dua syarikat tersebut untuk menjalankan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Perak.

Dalam pada itu, Aziz mendakwa Faizal telah membelakangkan manifesto PH dalam beberapa isu, termasuk dalam soal pemberian tender terbuka.

"Secara umum apa yang berlaku ialah Faizal enggan melaksanakan manifesto. Beliau secara lisan memberi justifikasi mengapa penyimpangan perlu tetapi apabila ia dilaksanakan, justifikasi lisan itu tidak dibuat.

"Dalam isu ini saya dan DAP komited kepada janji PH sebagaimana yang termaktub dalam manifesto PRU 2018. Faizal enggan berbuat demikian," katanya lagi.

Pada Oktober 2019, Faizal dipetik Berita Harian sebagai berkata, tidak semua projek membabitkan kepentingan rakyat dan kerajaan perlu dilaksanakan menerusi tender terbuka.

Mengulas pelantikan sebuah syarikat bagi projek penyelenggaraan jalan raya ketika itu, beliau berkata walaupun ada kontrak diberikan secara terus, ia tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya.