Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganalisis: Dr M perlu lupakan cita-cita jadi PM semula

Beberapa penganalisis politik berpendapat Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai pilihan selain memberi laluan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk dipilih sebagai calon perdana menteri kesembilan.

Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, bekas perdana menteri itu perlu sedar bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kedudukan PKR dalam Pakatan Harapan (PH).

“Tidak ada pilihan bagi Dr Mahathir selain lupakan cita-cita untuk menjawat perdana menteri kali ketiga.

“Mahathir perlu ada keutamaan sama ada mahu tumbangkan Perikatan Nasional (PN) atau mahu jadi perdana menteri kerana kedua-dua kemahuan ini tidak boleh dicapai serentak buat masa kini,” katanya kepada Malaysiakini.

Justeru menurut Azmi, Mahathir tidak mempunyai pilihan kerana keputusan mengekalkan PKR terletak kepada PH dan PKR sendiri.

“Putus kerjasama dengan PKR bermakna PKR keluar PH. Sebenarnya keputusan tidak terletak di tangan Mahathir tapi sebenarnya terletak pada PKR dan juga PH,” katanya.

Pada 23 Jun, dalam wawancara eksklusif dengan Sin Chew Daily, Mahathir berkata beliau bersedia untuk menamatkan kerjasamanya dengan PKR jika parti itu terus menentang pencalonannya bagi jawatan perdana menteri.

Beliau turut berkata akan menghentikan kerjasama dengan Anwar jika kebuntuan berhubung calon perdana menteri PH Plus tidak dapat diselesaikan.

Dalam wawancara tersebut, Mahathir juga menjelaskan akan mencari jalan lain, namun menegaskan akan terus bekerjasama dengan DAP dan Amanah kerana kedua-dua parti itu menyokongnya sebagai calon perdana menteri.

Tak mungkin DAP, Amanah singkirkan PKR

Sementara itu Profesor Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya (UM) berpendapat adalah sukar bagi Amanah dan DAP untuk bekerjasama dengan Mahathir tanpa penglibatan PKR.

Awang Azman turut menegaskan Mahathir dan sekutunya tidak akan dapat bertahan dalam arus politik negara sekiranya menamatkan kerjasama dengan parti yang diasaskan Anwar itu.

“Dalam situasi ini, pilihan yang ada untuk Mahathir sekiranya beliau benar-benar memutuskan kerjasama dengan PKR ialah bergerak sendirian bersama Bersatu Hitam (Mahathir dan sekutunya).

“Tidak mungkin DAP dan Amanah mahu bekerjasama panjang dengan Tun (Mahathir) tanpa PKR. Tanpa PKR, Amanah dan DAP tak dapat membawa impak besar kepada landskap nasional,” katanya.

Tambah beliau, tanpa penglibatan PKR, kerjasama dengan Amanah dan DAP hanya akan jadi beban politik kepada kedua-dua parti itu.

“Beban besar politik ialah apabila penyokong PH akan mempersoalkan kenapa tak menyokong Anwar sebagai rakan sekutu ketika susah senang bersama berbanding Mahathir hanya seketika,” katanya sambil mengingatkan jumlah pemimpin Bersatu yang memihak kepada Mahathir tidak sebesar pimpinan Bersatu dalam PN.

Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, beliau tidak melihat kerjasama dalam PH Plus akan dapat dicapai tanpa Mahathir berkompromi dengan Anwar.

Beliau berkata, meskipun Mahathir dijangka akan cuba bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh menaikkannya semula sebagai perdana menteri, hakikatnya sokongan terhadap ahli parlimen Langkawi itu semakin berkurangan.

“Saya tidak nampak kerjasama akan diteruskan kecuali Mahathir dapat berkompromi dengan Anwar dan cari kata sepakat. 

"Solusinya hanya pada mereka berdua,” katanya.

Prof Ulung Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut melihat Mahathir kini tidak mempunyai banyak pilihan kerana hanya memiliki sedikit penyokong setia dalam kalangan kepimpinan PH.

“Mahathir hanya boleh menggertak saja. Mimpi dia nak jadi perdana menteri kesembilan tamat dan terkubur,” katanya. 

Lihat Komen
ADS