Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M harap ada perubahan dalam perjanjian air selepas PRU S'pura
Diterbitkan:  Jun 26, 2020 3:10 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia mengharapkan “perubahan” dalam perjanjian air Singapura-Malaysia selepas pilihan raya republik itu yang dijadualkan bulan depan.

Dalam temu bual bersama Asian Times, Mahathir bagaimanapun berkata beliau tidak begitu optimistik berkenaan hal itu memandangkan sikap Singapura tidak begitu "bekerjasama" (very cooperative).

Meskipun begitu, beliau berharap Lee Hsien Yang, adik lelaki kepada perdana menteri Singapura Lee Hsien Loong, mempunyai sikap berbeza sekiranya partinya itu berjaya menjatuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang begitu lama memegang kuasa.

“Kita harap ada perubahan. Tapi mengenali Singapura, mereka tak begitu bekerjasama. Mereka tak mahu ubah apa-apa pun. Semuanya memberikan kelebihan buat mereka, jadi mereka mahu terus kekal begitu.

“Saya harap adik (Lee Hsien Loong), yang mempunyai perbezaan dengan abangnya, akan mempunyai sikap berbeza terhadap Malaysia,” kata Mahathir yang merupakan pengerusi Bersatu yang dipertikaikan, berdasarkan transkrip temu bual yang diterbitkan hari ini.

Hsien Loong dan Hsien Yang diketahui mempunyai hubungan yang agak renggang.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai pilihan raya Singapura itu, Mahathir berkata ia merupakan “masalah dalaman” antara dua beradik tersebut.

“Saya rasa mereka (Singapura) sudah mempunyai satu parti untuk tempoh masa yang lebih lama berbanding kita. Rakyat agak bosan, mungkin mereka mahukan perubahan.

“Mereka berhak untuk tukar kerajaan. Tapi kalau mereka tukar kerajaan sekalipun, hubungan dengan Malaysia mungkin tak berubah.”

Pilihan raya Singapura dijadualkan berlangsung pada 10 Julai selepas Hsien Loong meminta Parlimen dibubarkan pada Selasa lalu.

Lee Hsien Yang

Hsien Loong dan Hsien Yang, merupakan anak kepada pengasas Singapura, Lee Kuan Yew.

Hsien Loong mengetuai PAP yang diasaskan ayah mereka dan telah menerajui pemerintahan Singapura sejak pemisahannya daripada Malaysia pada 1965.

Hsien Yang baru-baru ini mengumumkan beliau menyertai parti pembangkang Parti Kemajuan Singapura (PSP), tetapi belum memutuskan sama ada akan bertanding atau tidak dalam pilihan raya akan datang.

Kedua-dua beradik itu bersengketa berhubung rumah peninggalan ayah mereka, sejak mendiang meninggal pada 2015.

Sementara itu, dalam temu bual sama, Mahathir sekali lagi menyuarakan ketidakpuasan hatinya berhubung perjanjian air dengan republik berkenaan.

Mahathir menggesa semakan semula terhadap perjanjian berkenaan ketika beliau menjadi perdana menteri PH pada 2018, selepas berulang kali menyifatkan perjanjian itu sebagai tidak masuk akal.

Dalam perjanjian yang hanya akan luput pada 2061, Singapura berhak untuk mendapatkan bekalan sebanyak 250 juta gelen air mentah sehari dari Sungai Johor dengan membayar hanya tiga sen untuk 1,000 gelen air mentah.

Ia kemudiannya menjual semula air terawat kepada Johor pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.


KiniGuide: Diving deep into Johor-S'pore water agreements


Kata Mahathir lagi, jika mengambil kira harga semasa, harga tiga sen itu adalah terlalu rendah untuk perjanjian yang “tidak masuk akal” tersebut.

“Dulu, bila kita buat perjanjian itu, tiga sen boleh buat beli apa-apa barang. Sekarang, tiga sen itu tak ada apa-apa. Kamu tak boleh satu barang pun dengannya. Jadi kami minta mereka, mari kita semak semula.

“[...] Jika Singapura negara miskin, mungkin mereka perlukan bantuan kami … tapi ia bukan negara miskin. Kami mahu rundingkan harga baru.Kami beli air daripada mereka dan jika mereka mahu naikkan harga air terawat yang dijual kepada kami, kami juga akan rundingkannya," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS