Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong tindakan pentadbiran sekarang membatalkan projek-projek mega yang hanya membazir dan tidak membawa faedah kepada rakyat.

"Hanya projek -projek yang memberi faedah kepada rakyat perlu disokong dan diteruskan," ujarnya ketika diminta mengulas mengenai kemarahan Dr Mahathir terhadap tindakan kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membatalkan projek-projek yang ditinggalkan oleh pentadbiran Dr Mahathir

Bagaimanapun, beliau mengulangi gesaannya supaya Abdullah tampil menjawab segala tuduhan yang dilemparkan oleh Dr Mahathair terhadap pentadbirannya.

"Segala kritikan itu perlu diberi jawapan yang memuaskan, apa lagi apabila ia datang dari seorang bekas Perdana Menteri seperti Dr Mahathir."

"Perdana Menteri patut menggunakan peluang ini untuk menjelaskan segala-galanya dan membuktikan keterbukaan, termasuk membenarkan media menyiarkan segala kenyataan Dr Mahathir dan pembangkang," ujarnya.

Bercakap dalam sidang media di rumahnya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur hari ini, Anwar bagaimanapun mengingatkan bahawa rakyat tidak perlu diheret sama dalam krisis peribadi mereka berdua.

Ssepatutnya, kata beliau, kerajaan dan rakyat memberi tumpuan kepada usaha memerangi rasuah dan memacu ekonomi, dan bukannya dibelenggu oleh pertikaian peribadi kedua-dua pemimpin itu.

' Ekonomi lembab'

"Lebih baik tumpu pada usaha memulihkan ekonomi negara. Ekonomi kita berada dalam keadaan lembab sejak sekian lama. Ekonomi kita tiada arah tuju dan nampaknya pelabur asing tidak tertarik dengan negara ini," tambahnya.

Abdullah mengambil sikap membisu sejak Dr Mahathir mengkritikannya secara terbuka ketika ini. Beliau sekadar mengarahkan anggota kabinetnya menjawab segala dakwaan Dr Mahathir itu dan mempertahankan keputusan dan dasar-dasarnya.

Selain menteri kabinet, para Menteri Besar, Ketua Menteri dan para pemimpin Umno turut mempertahankan segala dasar dan kedudukan Abdullah. Semalam Perdana Menteri dan keluarganya berlepas untuk bercuti ke Australia.

Menyentuh dakwaan Dr Mahathir yang berita dan kenyataannya telah disekat daripada disiarkan di media arus perdana, Anwar berkata, perbuatan menyenarai-hitam seperti itu adalah suatu yang tidak adil, tidak demokratik dan tidak bijaksana.

"Kalaupun amalan seperti itu diamalkan pada era Dr Mahathir, kita tidak sepatut mengulanginya," tegas beliau.

Bekas Timbalan Perdana itu menegaskan, hak Dr Mahathir untuk bersuara mesti dihormati dan dipelihara kerana semua rakyat berhak menyuarakan pandangan atau mengkritik dasar kerajaan.

"Saya masih menghormati hak Dr Mahathir untuk menyuarakan pendapatnya," kata Anwar lagi.