Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kami tahu di mana anda berada, Noor Hisham beri peringatan

KORONAVIRUS | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai semua butiran individu yang gagal menjalankan ujian saringan wajib kali kedua Covid-19 selepas menjalani kuarantin di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM mengenal pasti individu terbabit dan sepatutnya menjalani ujian sapuan (swab) kedua pada hari ke-13 kuarantin.

"KKM sudah kenal pasti individu tersebut, kami ada alamat mereka dan sebagainya," kata Noor Hisham pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Pada 29 Jun Noor Hisham memberitahu seramai 5,909 orang dibenarkan keluar dari pusat kuarantin dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah masing-masing.

Bagaimanapun rekod KKM menunjukkan hanya 4,437 orang menjalani ujian Covid-19 di klinik kesihatan atau klinik swasta pada hari ke-13 mereka dikuarantin.

Baki 1,472 orang lagi pula bagaimanapun gagal melakukan prosedur tersebut dan berdepan kemungkinan dihukum penjara, denda atau kedua-duanya sekali. 

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob hari ini pula memberitahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan digerakkan untuk menjejaki individu yang enggan menjalani saringan kedua pada hari ke-13 mereka dikuarantin di rumah.

"Mereka yang degil kita akan hantar polis untuk cari mereka, (terpulang) sama ada mereka nak tunggu polis datang atau pergi ke klinik untuk saringan kedua," katanya. 

Menurut Noor Hisham ketika ini KKM akan mengesan individu terbabit dan mendapatkan maklumat mengapa mereka tidak hadir menjalani prosedur yang sepatutnya.

Katanya ia adalah satu daripada cara KKM melakukan pemerkasaan komuniti atau individu agar merea mendisiplinkan diri sendiri dengan pergi ke klinik kesihatan kerajaan atau swasta bagi melakukan ujian sapuan kali kedua.

"Kita ada data mereka dan kita tahu di mana mereka berada," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS