Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pekerja asing bimbang masa depan kian kelam di Malaysia

Keputusan kerajaan untuk membekukan pengambilan pekerja asing dalam semua sektor sehingga hujung tahun ini menyebabkan ramai golongan terbabit - yang masuk ke negara ini secara sah - berdepan kesukaran.

Tidak mempunyai pekerjaan bermakna mereka juga kesempitan untuk menyara kehidupan.

Menurut Tenaganita, mereka menerima maklumat mengenai situasi pekerja asing yang bimbang dengan masa depan mereka selepas diberhentikan kerja.

“Kami ada terima banyak aduan tentang pekerja ada dokumen tetapi tak ada kerja, terutama yang sebelum ini bekerja di pasar.

"Mereka juga sudah bimbang dengan masa depan dan cara nak hidup (selepas ini),” kata pengarah eksekutifnya Glorene Das kepada Malaysiakini.

Selain itu, Glorene berkata Tenaganita berdepan kesukaran untuk berbincang berkenaan isu hak warga asing kerana tumpuan kerajaan kini dilihat hanya untuk menyingkirkan pendatang asing tanpa izin (Pati).

“Sejak kebelakangan ini, sukar untuk bekerjasama dengan kerajaan berkenaan isu migran, permit kerja dan masalah perkerjaan mereka.

Glorene Das

"Semua usaha (kerajaan) dilihat hanya memfokuskan untuk hapuskan Pati.

“Jika kerajaan melihat pekerja asing ini juga merupakan penyumbang kepada ekonomi negara, maka polisi yang ada harus diperhalusi dan perbincangan bersama NGO perlu dilakukan,” katanya lagi.

Pada 22 Jun lalu, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, mengumumkan pengambilan pekerja asing untuk semua sektor kini dibekukan sehingga hujung tahun ini.

Elak berhenti serentak, mendadak

Kementerian terbabit berbuat demikian sebagai langkah memberi laluan dan peluang pekerjaan lebih besar buat rakyat tempatan mencari rezeki di sektor yang sebelum ini diisi warga asing.

Menurut Saravanan ketika ini ada kira-kira dua juta pekerja asing di negara ini dan kerajaan berusaha mengurangkan jumlah itu dan pada masa sama memberi keutamaan kepada penduduk tempatan mendapat pekerjaan.

Kata Saravanan kementeriannya akan menilai semula langkah itu menjelang akhir tahun ini.

Langkah terhadap pekerja warga asing dipergiatkan ketika Putrajaya berdepan dengan ancaman Covid-19 dengan sesetengahnya melibatkan pendatang tanpa izin.

Alex Ong

Sementara itu, wakil Migrant Care di Malaysia, Alex Ong, menjelaskan majikan di Malaysia kini lebih berhati-hati untuk mengambil pekerja asing.

“Kini majikan Malaysia lebih berhati-hati untuk mengambil pekerja asing.

“Dengan tahap ekonomi sekarang, majikan lebih memerlukan pekerja yang sanggup dibayar gaji rendah untuk melakukan kerja bahaya - kebanyakan itu dimonopoli pekerja asing,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambah Ong, kerajaan harus mencari jalan menyelesaikan isu pekerja asing secepat mungkin terutama yang berada di sektor buruh kasar kerana ia boleh memberi kesan kepada negara.

“Kerajaan perlu mencari jalan agar tidak semua pekerja asing yang bekerja secara sah sebagai buruh kasar tidak berhenti secara mendadak kerana ia boleh lebih menyukarkan majikan dan kemudian menjejaskan ekonomi Malaysia,” katanya.

Lihat Komen
ADS