Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali meminta rakyat agar jangan terus terperangkap dalam rasa takut terhadap wabak Covid-19.

Katanya, sekarang adalah masa untuk rakyat keluar berbelanja bagi membantu ekonomi negara untuk pulih, manakala sikap tidak mahu berbelanja tidak akan membantu dalam pemulihan ekonomi negara.

“Kalau orang takut tak keluar, permintaan akan jadi kurang. Ini pun masalah juga. Kamu buka restoran, orang tak nak pergi makan. Buka kedai orang tak nak pergi beli.

“Ini tak membantu dalam memulakan semula dan lonjakkan ekonomi kita. Jadi itu yang saya sarankan, untuk rakyat berbelanja,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Stellar Focus Sdn Bhd di Gombak hari ini.

Tambahnya, naratif kini tidak seharusnya lagi berkisar tentang rasa takut, memandangkan keputusan untuk membenarkan ekonomi beroperasi semula dibuat berdasarkan fakta, dan telah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri.

Antaranya, katanya, penyebaran tempatan sudah lama berada pada tahap yang rendah, manakala penggunaan unit rawatan rapi (ICU) untuk kes Covid-19 juga berada pada tahap yang sangat rendah.

Selain itu juga, sistem kesihatan juga berada pada tahap kukuh, dan barisan petugas kesihatan sentiasa bersiap-siaga sekiranya berlaku peningkatan kes baru.

Setakat tengah hari tadi, negara mencatatkan lima kes penularan tempatan baru, setelah dua hari berturut-turut mencatatkan sifat penularan tempatan, menjadikan angka kes baru sebanyak 13 kes.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 8,696 kes, dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 64 kes.

Tingkatkan permintaan, urus bekalan

Mengulas lanjut, kata Azmin lagi, kebanyakan inisiatif yang dirangka di bawah pakej rangsangan Prihatin dan Penjana juga adalah untuk meningkatkan permintaan dan menguruskan bekalan.

Namun, pakej rangsangan itu tidak akan memberikan kesan yang dimahukan sekiranya orang tidak mahu berbelanja.

“Ini bukan masanya untuk buat simpanan.

“Sama ada yang B40, M40 atau golongan kelas atasan, mereka harus mula berbelanja sekarang supaya dapat memulihkan ekonomi kita dalam masa terdekat.

"[...] Kita kena bertindak dengan sangat pantas, bagi memastikan ekonomi kita hidup kembali dalam masa terdekat, ” katanya lagi.

Gara-gara Covid-19, negara menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac yang menyebabkan hampir semua aktiviti ekonomi ditutup, kecuali perkhidmatan penting.

Kawalan itu kemudiannya dilonggarkan beransur-ansur, apabila 4 Mei lalu, PKP bersyarat (PKPB) diumumkan yang mengizinkan hampir semua sektor ekonomi beroperasi kecuali beberapa sektor.

Kelonggaran ini digandakan lagi dengan PKP pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu sehingga 31 Ogos nanti, dengan lebih banyak perusahaan dibenarkan berjalan, dengan waktu operasi juga kembali seperti biasa.

Selepas 31 Ogos nanti, negara akan memasuki pula fasa normalisasi sehinggalah vaksin untuk virus Covid-19 ditemui.

Lihat Komen
ADS