Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Haniza: Saya tak boleh masuk pejabat Exco untuk kemas barang

Adun Lembah Jaya Haniza Talha berkata beliau tidak dapat masuk ke pejabat exco untuk mengambil barang-barangnya.

Ia selepas Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan bahawa khidmat Haniza sebagai Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar tamat semalam.

Penamatan khidmatnya susulan pemecatannya daripada PKR pada 28 Jun lalu.

Ketika dihubungi, Haniza memberitahu pejabatnya telah dikunci dengan mangga oleh pihak yang tidak dikenali.

"Ya, pejabat saya dimangga tetapi saya tak tahu atas arahan siapa.

"Barang-barang saya masih dalam pejabat kerana saya hanya dapat surat (penamatan khidmat) daripada setiausaha sulit menteri besar petang semalam, hampir pukul tujuh petang.

"Pegawai saya (ke pejabat) pagi ini untuk kemas barang sebelum Isnin tetapi mendapati pintu dirantai dan dimangga," katanya kepada Malaysiakini.

Haniza berkata akan ke sana sekali lagi Isnin ini.

Bekas ketua Wanita PKR itu dilihat sebagai sekutu utama bekas timbalan presiden Azmin Ali, yang merupakan antara individu utama di sebalik runtuhnya pentadbiran PH akhir Februari lalu.

Selepas penubuhan kerajaan baru, sejumlah penyokong Azmin dalam PKR telah bertindak keluar parti dan menyertai atau menyokong Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun Azmin dan para penyokongnya dari PKR masih lagi tidak memiliki parti walaupun berada di bawah Bersatu ketika sidang Dewan Rakyat.

Timbul spekulasi bahawa menteri kanan itu akhirnya akan menubuhkan parti baru.

Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin - yang turut dipecat daripada PKR - telah menubuhkan Pemuda Negara manakala Haniza menubuhkan Nation of Women. Kedua-duanya dilihat mungkin menjadi sayap Wanita dan Pemuda untuk parti baru yang dikatakan itu.

Lihat Komen
ADS